Langkawi: Proses penilaian semula status Langkawi UNESCO Global Geopark yang berakhir hari ini, memberi gambaran positif dengan kemungkinan pulau pelancongan itu akan menerima 'kad hijau' buat kali keempat.
Langkawi menerima pengiktirafan itu sejak 1 Jun 2007 dan tertakluk penilaian semula pada setiap empat tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, biarpun keputusan rasmi akan diumumkan pada September ini, namun dua pakar, Dr Yuanyuan Zheng dari China dan Dr Yongmun Jeon (Korea) memberi maklum balas positif.
"Saya sangat positif, dengan mengambil kira maklum balas dua pakar dari China dan Korea yang datang membuat penilaian semula status Geopark di pulau ini selama lima hari.
"Kita harap kekal (kad hijau) kerana ketika ini negara ada dua sahaja UNESCO Global Geoparks (UGGp) iaitu Langkawi dan Kinabalu, berbanding China ada 41, Korea lima dan Indonesia 10," katanya pada sidang media selepas Makan Malam Sempena Penilaian Langkawi UNESCO Global Geopark di sini, malam tadi.
Muhammad Sanusi berkata, pengiktirafan itu penting bagi membantu Langkawi mencapai sasaran menarik seramai 3.2 juta pelancong menjelang akhir tahun ini.
"Pada masa sama, kerajaan negeri menyasarkan Jerai Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Julai 2018 akan mendapat pengiktirafan pula sebagai UGGp, dua tahun akan datang," katanya.