View: 266|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
'Anak suka naik, sebab itu saya pandu walau tiada cukai jalan'
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: "Anak suka naik kereta ini, sebab itu saya pandu juga malam ini (semalam) walaupun tahu tiada cukai jalan."
Alasan itu diberikan pemandu kereta BMW selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dalam Op Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidiladha di Jalan Pahang, di sini malam tadi.
Siasatan mendapati cukai jalan kereta dipandu lelaki 32 tahun itu tamat tempoh sejak 2019 dan dia turut mendakwa dibebaskan dari penjara baru-baru ini dan masih tiada pekerjaan tetap, yang menyebabkan tidak mampu memperbaharui cukai jalan.
"Kereta ini saya beli pada 2017 dengan bayaran tunai RM40,000, yang mana ketika itu saya bekerja menjual besi buruk.
"Bagaimanapun selepas itu saya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan sebab itu ia (cukai jalan) tidak dapat diperbaharui sehingga kini," katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut JPJ juga mendapati lelaki itu turut tidak memiliki lesen memandu.
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/jpjakabmw_1688349898.jpg)
ERICK Jusiang (kanan) memeriksa kereta BMW yang dipandu lelaki yang tiada lesen memandu dan cukai jalan raya ketika ditahan dalam operasi bersepadu Ops Khas Motorsikal di Jalan Pahang. FOTO Hazreen Mohamad
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, operasi berlangsung empat hari bermula Selasa lalu mengeluarkan 1,286 saman dengan, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh menjadi kesalahan paling banyak dikesan
"Kesalahan tidak mempunyai lesen memandu membabitkan sebanyak 535 saman dan cukai jalan tamat tempoh pula sebanyak 237 saman.
"Lain-lain kesalahan pula antaranya tiada insurans (204), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (115) dan tiada cermin sisi (58)," katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya memastikan cukai jalan kenderaan sentiasa diperbaharui untuk mengelak daripada dikenakan tindakan termasuk sita, walaupun kerajaan kini tidak mewajibkan ia dipamerkan.
"Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen itu, seramai 70 warga asing berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Warga asing yang ditahan membabitkan 59 lelaki serta 11 wanita dan mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi proses dokumentasi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-tiada-cukai-jalan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|