Kangar: Mayat nelayan dipercayai lemas ditemukan terapung di terusan Sungai Kampung Wai, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, seorang wanita yang melalui kawasan tebing terusan itu memaklumkan menemui mayat mangsa berusia 26 tahun sekitar 10.20 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati mayat mangsa tersangkut pada batu di tepi terusan berkenaan dalam keadaan memakai baju berwarna hitam serta berseluar pendek merah.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada tiga hari di tempat kejadian.
"Pemeriksaan kita juga mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kampung Wai sehingga mengakibatkannya mangsa lemas dan tiada unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, di sini, untuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti mangsa sudah dilakukan oleh ibu mangsa.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).