GEORGETOWN: Seramai 33 peniaga Astaka Mutiara Selera dekat Tanjung Bungah di sini, terkejut besar apabila mendapati sewa gerai melambung tinggi dikenakan kepada mereka untuk kembali berniaga di situ, selepas dua tahun ditutup akibat kebakaran.
Ini kerana sewa yang dikenakan kepada mereka sebelum ini iaitu RM36 sebulan, kini dinaikkan kepada RM900 sebulan.
Peniaga S Sundra, 43, berkata pada asalnya astaka di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu musnah dalam kebakaran pada November 2020 dan peniaga menunggu bagi tempoh yang lama sementara menanti bangunan astaka baharu itu siap.
Beliau yang sudah 20 tahun berniaga capati di astaka itu, berkata sebelum ini kadar sewaan yang dikenakan kepada peniaga adalah sebanyak RM36 sebulan.
"Namun pada Isnin lalu, kami dimaklumkan oleh syarikat yang dilantik Chief Minister Incoperated (CMI) bahawa kadar sewaan yang perlu dibayar ialah sebanyak RM900 sebulan dan melihat pada pendapatan kami, memang tidak mampu hendak membayarnya.
"Sepatutnya mampu menarik nafas lega kerana sudah boleh berniaga semula selepas dua tahun terhenti bagi beri peluang pembinaan semula astaka itu namun sebaliknya pula berlaku.
"Kami sudah lalui detik sukar selepas kejadian kebakaran itu kini jalan hidup kami bertambah sukar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Rohani Mat Yunus, 61, berkata menerusi perbincangan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari berjanji bayaran sewaan baharu yang dikenakan adalah pada kadar rendah iaitu tidak melebihi RM350 sebulan.
"Kami difahamkan, jika kami bersetuju dengan kadar sewaan baharu itu, peniaga boleh berpindah masuk dan mula berniaga pada 1 Julai depan.
"Pada masa ini, kami berada dalam keadaan buntu dan berharap ada jalan penyelesaian segera," katanya lagi.
Terdahulu, peniaga terbabit ditemui di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi mengemukakan bantahan kenaikan kadar sewa itu.
Memorandum turut diserah kepada Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Zahar Zainol, yang mewakili ketua menteri itu.
Memorandum terbabit mengandungi gesaan supaya CMI menarik balik kenyataan kenaikan sewa yang tidak masuk akal selain mendesak supaya astaka berkenaan diambil alih semula oleh MBPP.