Nibong Tebal: "Ada segelintir yang persoal kenapa saya sanggup berpanas sedangkan boleh duduk dalam bilik berhawa dingin.
"Hakikatnya, saya nak cari rezeki lebih dan tiada masalah pun kerana suka keluar daripada zon selesa," kata Muammar Gadaffi Abd Rashid.
Anggota polis berusia 40 tahun itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM).
Bagaimanapun, masa terluang yang ada tidak disia-siakan sebaliknya digunakan dengan mengambil upah sebagai pemotong rumput di sekitar kawasan perumahan.
Muammar Gadaffi berkata, dia terjebak dengan pekerjaan itu secara sambilan sejak empat tahun lalu selepas melihat status rakannya yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.
"Melihat perkongsiannya itu, timbul minat dan terdetik hati untuk cuba jadi pemotong rumput.
"Untuk permulaan dan bina keyakinan, saya ke tanah perkuburan dulu dan potong rumput di situ dulu kerana tiada orang.
"Tak lama kemudian, baru saya beranikan diri ambil upah dan Alhamdulillah masih bertahan serta dapat kepercayaan pelanggan sehingga kini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dafi_1687179517.jpg)
MUAMMAR Gadaffi mengambil upah sebagai pemotong rumput pada hari cuti dan waktu terluang. FOTO Ihsan pembaca.
Bercerita lanjut Muammar Gadaffi berkata, keluarga berasa janggal pada awalnya selepas dia menyatakan hasratnya untuk bekerja sambilan sebagai pemotong rumput namun kini sudah faham malah beri sokongan penuh.
Muammar Gadaffi berkata, dia juga tiada masalah membahagikan masa dengan kerja hakiki kerana hanya ambil upah memotong rumput pada hari cuti atau di luar waktu kerja.
"Sambutan menggalakkan dan boleh katakan setiap hari ada tawaran kerja terutama sejak saya kongsi video di TikTok.
"Cuma, saya tak ambil semua tawaran kerja kerana perlu ada masa juga untuk keluarga.
"Nak cerita soal pengalaman memang banyak termasuk jumpa ular waktu buat kerja cuma syukur kerana bertemu ramai pelanggan baik walaupun ada juga yang sebaliknya.
"Apa pun, saya puas lakukan kerja itu kerana suka lihat kebersihan depan mata dan sambil kerja, saya dapat jadi 'mata-mata' dengan bantu pantau kawasan sekitar seandainya ada kes jenayah," katanya.
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dafi1_1687179519.jpg)
KHIDMAT ditawarkannya mendapat sambutan hebat pelanggan. FOTO Ihsan pembaca.
Muammar Gadaffi berkata, selagi dapat kepercayaan pelanggan, dia akan terus tawarkan perkhidmatan memotong rumput dan tidak akan berhenti.
Pada masa sama, dia akan terus berkongsi video ketika melakukan kerja memotong rumput di TikTok bagi memberi inspirasi kepada yang menonton.
"Selain berkongsi pengalaman, video di TikTok itu dimuat naik untuk ubah persepsi segelintir masyarakat terhadap kerjaya pemotong rumput.
"Satu lagi, saya nak tunjuk potong rumput pun kerja yang boleh datangkan hasil kerana segelintir individu kata tiada pekerjaan, hakikatnya mereka memilih.
"Buat masa ini, saya bergerak sendiri tetapi ada juga perancangan nak meluaskan perkhidmatan dan mungkin waktu itu akan rekrut pekerja," katanya.