Batu Kawan: Hasrat murni seorang polis bantuan membantu kenderaan rosak berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, dekat sini pagi tadi.
Menurut Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), dalam kejadian jam 8.30 pagi itu mangsa Musyiri Bakar, 49, berada di kilometer (KM) 11.6 lokasi kejadian untuk membantu seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Viva yang mengalami kerosakan di tepi jalan.
"Sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda jenis Hilux sehingga menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan itu tercampak ke lorong motosikal.
"Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang melalui kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menerusi kenyataan itu, JKSB memaklumkan penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pihak JKSB masih menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan," katanya.