CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 181|Reply: 0

[Kedah] Penduduk mahu jawapan, batal atau tangguh?

[Copy link]
Post time 12-6-2023 05:35 PM | Show all posts |Read mode

GAMBAR hiasan

Baling: Penduduk di sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai di sini, mendesak agar kerajaan negeri dapat memberi jawapan telus mengenai status projek kuari di dua gunung berkenaan sama ada sudah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.

Mereka menyatakan kebimbangan mengenai projek itu kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat termasuk menjejaskan kesihatan mereka.

Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Mohd Sobri Ramlee berkata, jarak tapak cadangan kuari di Gunung Pulai dari penempatan penduduk hanya 150 meter, manakala 990 meter dari Gunung Baling.

Menurutnya, pihaknya sangat berharap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan terus projek itu sebelum habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya sudah membuat 12 kali bantahan sejak 2018 dan tiga kali memorandum bantahan dihantar kepada Pejabat Menteri Besar namun tidak mendapat sebarang jawapan bertulis.

"Muhammad Sanusi sendiri pernah membuat bantahan projek kuari di gunung ini ketika beliau menjadi ketua pembangkang.

"Cadangan projek kuari ini adalah pada 2016 di Gunung Baling, manakala 2019 di Gunung Pulai.

"Pada 2021 kontraktor ada menebuk kaki Gunung Baling untuk diletakkan bahan letupan namun apabila bantahan dilakukan, ia ditangguhkan.

"Papan tanda projek itu masih ada namun ia sudah lusuh, bagaimanapun yang kita minta sekarang adalah menteri besar dapat mengentikan terus projek itu supaya tidak lagi perlu berasa susah hati," katanya ketika sidang media bantahan projek berkenaan bersama penduduk di kaki Gunung Pulai di sini, petang semalam.

Mohd Sobri berkata, sekiranya projek itu diteruskan selepas ini, ia akan memberi kesan kepada kualiti udara selain menyebabkan pelbagai penyakit akibat daripada habuk letupan dan kerja kuari.

Selain itu, katanya, ia turut akan menjejaskan sumber air mentah penduduk berikutan kualiti air Sungai Ketil di sini, boleh tercemar berpunca daripada kerja-kerja tanah, sisa batu kapur dan diesel.

"Jarak Sungai Ketil hanya 100 meter dari cadangan tapak projek. Ia juga secara tidak langsung akan menjejaskan sumber pengairan sawah padi yang terletak di hilir sungai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari di dua gunung berkenaan, Kamaruddin Zakaria, 57, berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya projek kuari kerana ia dilihat hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja dan mendatangkan mudarat kepada penduduk.

Katanya, kira-kira hampir 2,000 penduduk di kaki Gunung Pulai terutama di Kampung Padang Che Mas akan terjejas terutama bagi mereka yang menjadikan kawasan itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

"Penduduk di sini ada yang melakukan kegiatan eko-pelancongan dari gua dan menjadi pemandu arah untuk aktiviti mendaki gunung berkenaan termasuk berkayak di sebahagian Sungai Ketil.

"Di samping itu ada yang mencari hasil hutan serta mengambil baja organik untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan, jika projek ini diteruskan, kami akan banyak hilang pendapatan.

"Kami harap kerajaan akan batalkan terus projek ini dan tunjukkan bukti mutlak bahawa projek ini dibatalkan, kami tidak mahu gunung yang mempunyai nilai warisan sejarah dan arkeologi ini lenyap untuk tatapan warisan anak cucu kami selepas ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -batal-atau-tangguh

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-6-2024 04:12 AM GMT+8 , Processed in 0.055400 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list