Mangsa disahkan sebagai Muhammad Wafiq Zikry Shah Mohd Farid Amirol Shah berasal dari Kampung Genting, Balik Pulau, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa maut dalam kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di kepala.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-6658704 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Soffian berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, pihaknya menerima maklumat mengenai pokok tumbang sehingga menyebabkan kemalangan dua kereta dan tiga motosikal.
"Tiga lagi individu mengalami cedera manakala enam lagi tidak mengalami kecederaan," katanya.
Kejadian yang berlaku dari arah pusat bandaraya ke Jambatan Pulau Pinang itu turut menyebabkan kesesakan melebihi lima kilometer berikutan pokok tumbang merentangi jalan.
Saksi mendakwa pokok dipercayai tumbang selepas dibadai belalai air dari kawasan pantai sebelum melalui lebuh raya berkenaan.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A'azelan Hassan berkata, terdapat mangsa ialah pemandu Mercedes-Benz dan lima individu yang menaiki Perodua Myvi terdiri daripada tiga wanita termasuk seorang hamil, lelaki dan kanak-kanak.
Selain itu, empat mangsa lagi menaiki tiga motosikal berasingan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.
Seorang penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi lelaki patah kaki.