CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 274|Reply: 0

[Perak] Penganggur dituduh cederakan isteri dengan pisau, amang seksual anak tiri

[Copy link]
Post time 6-6-2023 03:08 PM | Show all posts |Read mode

PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mendatangkan kecederaan fizikal terhadap isterinya selain dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan fizikal terhadap isterinya selain dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim atas dakwaan mencederakan isterinya yang berusia 36 tahun menggunakan sebilah pisau.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas isterinya di sebuah rumah di Kamunting, di sini, jam 9.30 malam, 23 Mei lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama yang mana Seksyen 324 KK memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman diperuntukkan itu jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu agar diberikan jaminan minimum agar dia tidak dimasukkan ke dalam penjara atas alasan mempunyai pengalaman buruk apabila memasuki penjara sebelum ini termasuk dicederakan banduan lain.

Jumlah jaminan RM20,000 kemudiannya ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai, di samping menetapkan tarikh 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu dalam prosiding di kamar Mahkamah Sesyen berasingan iaitu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas anak tirinya yang berusia 12 tahun 6 bulan, juga pada bulan lalu.

Pertuduhan bagi kes amang seksual tertuduh terhadap anak tirinya itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal ke atas anak tirinya di rumah sama tertuduh memukul isterinya, jam 1.30 pagi, 24 Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan serupa di hadapan sebuah pasar raya di sini, kira-kira jam 9 malam 27 Mei lalu.

Kesalahan itu masing-masing dibaca mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sharifah Norazlita tidak membenarkan tertuduh diikat jamin untuk kes amang seksual ini dan menetapkan tarikh 4 Julai depan untuk sebutan semula kes.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-seksual-anak-tiri
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2025 12:42 PM GMT+8 , Processed in 0.959845 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list