|
Dua putera Sultan Johor, Tunku Abu Bakar dan Tuku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim akan beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR pada GT World Challenge Asia hujung minggu ini di Thailand. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Johor Motosports Racing (JMR) teruja dan bersedia untuk mempertahankan kejuaraan GT World Challenge Asia, apabila musim 2023 membuka tirai pada hujung minggu ini di Thailand.
Dua putera Sultan Johor, Tunku Abu Bakar dan Tuku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim akan beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR yang menampilkan dua jentera Mercedes AMG GT3 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.
Kedua-dua putera Sultan Johor itu akan bergandingan dengan pemandu V8 Supercars Australia Broc Feeney dan pakar perlumbaan endurance Jerman Luca Stolz, pada musim ini.
Tunku Abdul Rahman berharap dapat mengekalkan momentum yang baik dari awal tahun ini, selepas menduduki tempat keempat dan ketiga dalam dua pusingan pertama GT World Challenge Australia.
"Tahun lepas, saya menjuarai kejohanan Pro-Am di Asia, dan menamatkan saingan di tempat ketiga di Australia manakala JMR dan Triple Eight muncul juara keseluruhan Kejohanan Berpasukan di Asia. Tahun ini merupakan tahun yang hebat, dengan cabaran lebih besar tapi kami menantikannya.
"Saya gigih menjalani latihan di gimnasium dan mendapatkan lebih banyak masa berada dalam kereta, kerana saya mahu mempamerkan prestasi ke tahap lebih baik tahun ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan pasukan.
Sementara itu, Tunku Abu Bakar, yang konsisten dengan menduduki tempat kelima dan keempat pada perlumbaan di Australia berkata, pasukan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar pada 2023, selepas meraih pengalaman berharga pada musim lepas.
"Saya teruja dengan cabaran dalam dua perlumbaan Australia dan Asia di GT World Challenge dan dengan sokongan Jamie, Luca dan Triple Eight bermakna kami telah memberikan yang terbaik untuk berjaya," katanya.
Kejohanan GT World Challenge Asia berlangsung sebanyak enam pusingan. Selepas aksi pembukaan musim baharu di Thailand, perlumbaan pusingan keempat akan berlangsung di Jepun, sebelum berlangsung di Litar Sepang pada 22 hingga 24 Sept depan. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... ia-pertahan-gelaran |
|