View: 1621|Reply: 0
|
Anak istimewa pamer bakat peraga pakaian
[Copy link]
|
|
Anak istimewa pamer bakat peraga pakaian
PETALING JAYA: Lagak dan gaya kanak-kanak istimewa mempunyai sisi bakat yang tersendiri dan mencuit hati orang ramai apabila mereka juga mampu melaksanakan tugas memperagakan pakaian dalam pertunjukan fesyen.
Ini dapat dilihat apabila seramai 11 anak istimewa dari Sekolah Taarana, di sini terbabit dalam pertunjukan pakaian baju Melayu, lengha, jippa dan paavadai, sempena Hari Autisme Yayasan RYTHM, baru-baru ini.
Pertunjukan itu juga diadakan sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2023 yang disambut pada bulan ini.
Menceritakan mengenai persiapan itu, juruterapi tingkah laku Sekolah Taarana, G Vanitha, berkata pada mulanya mereka mengenal pasti pelajar yang mampu mengadakan pertunjukan itu.
Katanya, seramai 11 kanak-kanak dengan pelbagai keperluan berbeza berusia antara empat hingga 15 tahun yang dilihat berpotensi, dipilih untuk aktiviti itu.
"Sebagai permulaan, semua guru memulakan pertunjukan fesyen untuk menunjukkan kepada kanak-kanak bagaimana cara berjalan dan memperagakan pakaian.
"Kami lakukan ini berulang kali supaya mereka faham dan selepas itu barulah kami meminta mereka pula lakukan aksi sama.
"Mereka memang boleh lakukan dengan baik seperti diminta, tetapi latihan terus dilakukan berulang kali supaya mereka ingat," katanya.
Vanitha yang sudah 10 tahun menjadi juruterapi berkata, persiapan hanya dibuat tiga hari sebelum pertunjukan sebenar dan latihan dibuat sekurang-kurangnya tiga jam sehari.
Ibu bapa turut bantu
Yang membanggakan, ibu bapa turut memainkan peranan dengan membantu mengajar anak mereka di rumah cara berjalan dan memperagakan baju.
"Saya tidak sangka anak istimewa berjaya melaksanakan tugasan memperagakan busana dengan baik seperti yang diajar.
"Ini menunjukkan anak istimewa boleh mendengar dan mengikut arahan dengan baik," katanya.
Guru besar Sekolah Taarana, Dr S Sunitha, berkata sekolah itu sudah beroperasi sejak 13 tahun lalu oleh Yayasan RYTHM untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Katanya, di sekolah itu pelajar dengan pelbagai keperluan akan diajar cara untuk berdikari dalam pelbagai aspek dengan bantuan seramai 11 guru dan tiga juruterapi.
"Di sini kita akan melihat apa bakat mereka dan jika lebih kepada seni atau muzik kita akan lebih memberi tumpuan kepada bidang itu.
"Menariknya, ramai kanak-kanak istimewa ini mempunyai bakat melukis dan kita tukarkan bakat mereka kepada pendapatan tambahan dengan menjual hasil lukisan dalam bentuk poskad kepada pengunjung sekolah," katanya.
Beliau berkata, dapat menunjukkan kepada ibu bapa yang anak-anak mereka mempunyai bakat yang dapat digunakan untuk masa depan mereka.
Selain memberi tumpuan kepada bakat, sekolah berkenaan juga mengajar anak istimewa akademik seperti menulis, mengira serta kemahiran motor seperti menjahit.
Bagi pelajar ada kemahiran asas, mereka akan diajar memasak, mengemas rumah seperti membasuh baju selain cara menggunakan komputer.
"Setiap anak ini mempunyai potensi tersendiri dan perlu didedahkan dengan cara betul kerana mereka berada dalam spektrum serta mengalami dunia secara berbeza.
"Oleh itu, kita perlu membina persekitaran yang lebih kondusif dan inklusif bagi membantu mereka berkembang maju bersama rakan sebaya," katanya.
SumbeR:https://www.bharian.com.my/wanit ... akat-peraga-pakaian
|
|
|
|
|
|
|
| |
|