|

MUHAMAD Firdausi Nasaruddin bersama isteri, Siti Asmahul Husnah Maarof dan tiga anaknya. FOTO Ihsan Muhamad Firdausi Nasaruddin
Mersing: "Jujurnya saya tidaklah sekuat mana. Namun tanggungjawab ini harus dipikul selepas saya bergelar suami. Sesukar mana sekalipun ujian, saya percaya pada ketentuan Allah SWT," ujar Muhamad Firdausi Nasaruddin, 35.
Dia yang menetap di Kampung Mersing Kanan, di sini, diuji apabila isterinya, Siti Asmahul Husnah Maarof, 29, menghidap skizofrenia iaitu masalah kesihatan mental dan kebimbangan melampau.
Selain itu Muhamad Firdausi turut memiliki anak sulungnya, Muhammad Furqan Dzulqarnain,10,yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori autisme selain turut mengalami masalah 'Arthritis' pada bahagian sendi lututnya.
Manakala anak keduanya, Muhammad Arjuna Muttaqin, tiga tahun, disahkan mengalami masalah lewat perkembangannya (GDD) dan 'Ganglion Cyst' pada sendi pergelangan tangannya.
Anaknya itu masih menunggu tarikh dari Pakar Ortopedik untuk pembedahan.
Akibat kerana kesempitan wang, Muhammad Firdausi hanya mampu memberikan air bancuhan susu pekat manis untuk diminum anak kedua dan anak bongsunya, Maleeqa Nur Sofea yang baru berusia sebulan.
Menyelami isi hati Muhamad Firdausi, dia mengakui ujian ini amat berat namun hanya mampu meneruskan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
"Isteri saya asalnya normal namun keadaan menjadi semakin teruk sejak melahirkan anak kedua.
"Sejak awal kehamilan anak kedua lagi, saya mula perasan isteri mengalami simptom 'anxiety' namun saya berfikir itu hanyalah perkara biasa sehinggalah doktor mengesahkannya.
"Setiap kali kami keluar dan menunggang motosikal bersama, dia berasa akan berlaku kemalangan sedangkan tiada apa-apa yang berlaku.
"Buat masa ini, dia hanya bergantung dengan ubat-ubatan disyorkan doktor psikiatri yang merawatnya.
"Oleh kerana emosinya tidak menentu , kedua-dua anak istimewa itu perlu dijaga saya sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Jika diberi pilihan, Muhamad Firdausi mahu keluar bekerja bagi menyara keluarga.
Bagaimanapun, dia tidak dapat berbuat demikian kerana isteri dan anaknya memerlukan perhatiannya.
"Sebelum ini, saya hanya membuat kerja kampung dan khidmat mencuci rumah dengan bayaran seikhlas hati demi menyara keluarga.
"Kini saya diberi upah memberi makan anjing peliharaan baka German Shepherd milik seorang individu pada setiap pagi dan petang. Waktu kerja singkat, jadi saya tak bimbang untuk tinggalkan anak dan isteri di rumah.
"Ada yang mempersoalkan kerja saya. Tidak kurang juga mengatakan saya malas dan sebagainya," katanya.
Di sebalik ujian itu, Muhamad Firdausi bersyukur kerana Allah SWT memberikannya kesihatan yang baik untuk menjaga dan menguruskan anak dan isteri.
"Buat masa ini, saya sekeluarga tinggal sementara di rumah sewa mentua. Motosikal yang ada pun milik ibu mentua. Hanya itu sahaja kenderaan yang saya gunakan untuk bekerja.
"Saya terpaksa membawa anak dan isteri menaiki bas setiap kali mahu mendapatkan rawatan pakar di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk isteri dan Arjuna (anak kedua).
"Meskipun begitu, saya tidak pernah terfikir untuk menyerahkan anak saya kepada sesiapa kerana tak sanggup berpisah dengan mereka," katanya yang menerima elaun kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 sebulan dan bantuan segera dari Baitulmal.
Ketika orang lain teruja menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi, Muhamad Firdausi pula masih memikirkan bagaimana mahu terus bertahan dan mengakhiri kepayahannya.
"Tiada persediaan pun untuk raya nanti, kami sekeluarga hanya pakai apa adanya saja nanti.
"Jika ada sekalipun, saya akan dahulukan anak dan isteri kerana keperluan mereka yang lebih utama," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 01096020289743 atas nama Siti Asmahul Husnah Maarof atau menghubungi Muhamad Firdausi di talian 014-924 8227.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-beban-mu-firdausi |
|