|
Pemain Jepun, Takuma Asano menjalani latihan di Al Sadd SC New Training Facilities 1, dekat Doha, Qatar. - REUTERS
DOHA: Tidak ramai memberikan Jepun harapan untuk melepasi peringkat kumpulan yang turut disertai Jerman dan Sepanyol apabila undian Piala Dunia dibuat, tapi kemenangan mengatasi Costa Rica esok akan memberikan skuad kendalian Hajime Moriyasu peluang ke kelompok 16 terakhir.
Jepun bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan juara empat kali, Jerman Rabu lalu dan akan berdepan Costa Rica yang dibelasah 7-0 oleh Sepanyol pada aksi pembukaan Kumpulan E.
Bagi jurulatih Costa Rica, Luis Fernando Suarez, membina keyakinan pasukannya yang musnah menjadi keutamaan.
"Saya bimbang mentaliti pemain tidak dapat bangkit daripada kekalahan ini, keputusan yang buruk itu," katanya selepas kekalahan besar itu. "Secara logiknya, itu yang pertama sekali saya perlu selesaikan.
"Kami perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi tetapi selepas kami bercakap mengenainya, kami perlu melupakannya."
Ia bagaimanapun lebih menjanjikan sesuatu yang baik buat Jepun yang memberikan kejutan kedua terbesar pada Piala Dunia 2022 setakat ini apabila menang 2-1 mengatasi Jerman.
Jepun dibantu enam pemain Bundesliga dan seorang lagi bermain di liga kedua Jerman apabila jaringan pemain Freiburg, Ritsu Doan dan bintang VfL Bochum, Takuma Asano memberikan pasukan Asia itu kemenangan pertama mengatasi Jerman.
Costa Rica, yang mengalami kekalahan terbesar paada pusingan akhir Piala Dunia, tampak tidak akan mampu memberikan tentangan sengit seperti Jerman.
Sepanyol akan menanti Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan tetapi Moriyasu sedar aksi esok amat penting buat mereka. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... bah-duka-costa-rica |
|