GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang bermesyuarat petang ini bagi membincangkan tindakan yang boleh diambil oleh jawatankuasa DAP negeri, susulan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow, berkata antara isu yang akan diteliti adalah sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen, menimbang keputusan sebelum ini untuk tidak menganjurkan pilihan raya ketika musim hujan, dan membincangkan isu calon di peringkat parlimen.
Bercakap kepada media ketika ditemui semasa meninjau projek naik taraf pintu gerbang Little India di sini hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan mewakili parti itu di peringkat Parlimen adalah menjadi keutamaan berbanding calon negeri.
"Memandangkan pelbagai gerak geri (kelihatan) sejak minggu lepas serta makluman di media sosial, ia menunjukkan hari ini (bubar Parlimen) akan sampai juga," katanya. – BERNAMA