View: 924|Reply: 0
|
Kebenaran pegangan akidah majoriti ulama
[Copy link]
|
|
Kebenaran pegangan akidah majoriti ulama
NABI SAW mengisyaratkan kebenaran itu ada bersama al-jama‘ah yang pastinya amat sinonim dengan majoriti ulama ASWJ.
Ada sesetengah pihak yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) mendakwa: "Kebenaran tidak selamanya berada bersama majoriti." Lalu dibawakan ayat al-Quran yang bermaksud: "Jika engkau (wahai Muhammad) taat kepada majoriti yang berada di dunia, maka mereka akan sesatkan engkau daripada jalan Allah." (Surah al-An'am: 116). Justeru, adakah dakwaan ini benar?
Bagi membahaskannya, perlu dipastikan dahulu, apakah skop perselisihan antara majoriti - minoriti ini berbentuk umum membabitkan seluruh umat manusia atau khusus membabitkan umat Islam sahaja?
Jika umum, maka ayat berkenaan jelas berkaitan masyarakat di zaman Nabi SAW yang majoriti mereka adalah kafir musyrik. Bahkan, di zaman sekarang pun umat Islam dengan segala macam ragam masih bukan majoriti dan hanya 23% penduduk dunia. Jika perselisihan khusus berkaitan umat Islam sahaja, maka tidak wajar dibawakan dalil umum yang membabitkan golongan kafir. Justeru, ayat berkenaan tiada kaitan dengan perbincangan ini.
Secara zahir, maksud majoriti dalam dakwaannya ialah majoriti ulama yang diikuti pula oleh majoriti umat Islam. Maka perlu dipastikan, adakah perselisihan antara majoriti - minoriti itu merujuk kepada aspek usul (pegangan akidah) atau aspek furuk (amalan)? Jika aspek furuk (amalan) sahaja, maka dakwaan terbabit boleh jadi benar kerana jangkauan skop perbahasannya yang amat luas.
Namun, jika merujuk aspek usul (pegangan akidah), maka dakwaan terbabit tidak dapat diterima sama sekali kerana ia mengandungi tuduhan dan penghinaan kepada majoriti ulama Islam. Ia ibarat jarum halus tipu daya syaitan dan musuh Islam bagi 'membunuh' karakter ulama. Seolah-olah mereka gagal dan tidak berjaya mempertahankan kebenaran yang diamanahkan oleh sahabat RA dan salafussoleh.
Seolah-olah kebijaksanaan akal mereka secara kolektif dalam menjaga dan menekuni ajaran Islam tidak tepat, tersasar dan boleh dipertikaikan sehingga akhirnya mereka tidak dapat dipercayai lagi. Tentunya ini tidak dapat diterima.
Jika hilangnya kepercayaan umat kepada majoriti ulama ASWJ, pasti ia suatu malapetaka besar yang mendukacitakan. Sedangkan al-Quran dan hadis terus kekal terpelihara atas hasil usaha mereka. Jika hilangnya kepercayaan umat kepada mereka dan lebih mempercayai kefahaman al-Quran dan hadis yang ada pada kelompok minoriti, nescaya ia fenomena yang amat berbahaya terhadap umat Islam apabila mereka percaya kelompok minoriti lebih menepati kebenaran berbanding majoriti.
Tentunya golongan minoriti seperti Syiah Rafidhah, Musyabbihah Mujassimah, Neo-Muktazilah, Islam Liberal, Neo-Khawarij dan semua golongan minoriti akan mendakwa kebenaran hanya bersama mereka.
Boleh sahaja mereka mendakwa golongan majoriti ulama ASWJ tidak berjaya mempertahankan kebenaran yang dibawa oleh sahabat RA dan salafussoleh.
Sifir sebegini adalah sifir yang amat bahaya dan songsang sekali. Maka, dakwaan 'kebenaran tidak selamanya berada bersama majoriti' dari aspek usul (pegangan akidah) sangat bertentangan dengan realiti ilmiah dan sejarah. Kefahaman sebegini pastinya boleh mengakibatkan keruntuhan dan kekeliruan serius terhadap disiplin ilmu Islam yang sebenar.
Sedangkan Nabi SAW mengisyaratkan kebenaran itu ada bersama al-jama'ah, yang pastinya amat sinonim dengan majoriti ulama ASWJ.
Daripada Ibn 'Umar RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku atau umat Muhammad SAW di atas kesesatan. Kekuasaan Allah itu bersama al-jama'ah. Dan sesiapa yang menyimpang, dia menyimpang ke neraka." (Riwayat at-Tirmizi. Hadis hasan li-ghairih)
Dalam riwayat lain: "Kekuasaan Allah di atas al-jama'ah. Maka, ikutlah golongan yang terbesar (majoriti). Sesungguhnya sesiapa yang menyimpang, dia menyimpang ke neraka." (Riwayat al-Hakim)
Kata Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkannya: "Tafsiran al-jama'ah menurut ulama adalah ahli fiqah, ahli ilmu dan ahli hadis."
Demikian juga dalam sabda baginda SAW: "Hendaklah kamu sekalian bersama al-jama'ah. Dan berwaspadalah kalian daripada berpecah belah kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang bersendirian, sedangkan ia daripada dua orang adalah lebih jauh lagi. Barangsiapa yang menginginkan tempat terbaik dalam syurga, maka hendaklah ia tetap bersama al-jama'ah." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih gharib)
Dalam disiplin Islam, kebenaran umumnya ada bersama perkara yang disepakati oleh ulama, baik antara salaf dan khalaf atau mutaqaddimin dan mutaakhirin yang berpaksikan kepada al-Quran, sunnah, ijmak dan akal.
Aspek ini yang diwarisi majoriti ulama ASWJ dan yang patut dikuti umat Islam. Jika ada yang menolaknya, bererti dia sudah menyalahi perkara yang disepakati dan bersama dengan syaitan yang dikhuatiri kesudahannya nanti adalah neraka.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... idah-majoriti-ulama
|
|
|
|
|
|
|
| |
|