View: 860|Reply: 0
|
Tingkatkan amal, jauhi kemurkaan Allah
[Copy link]
|
|
Tingkatkan amal, jauhi kemurkaan Allah
MARILAH kita sama-sama menghitung segala amal perbuatan yang dilakukan selama ini.
Rasa terasa begitu cepat berlalu dan kini kita sudah pun berada pada awal 1444 Hijrah. Berbicara mengenai pergantian tahun, ia berkait rapat dengan putaran waktu.
Sabda Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: "Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah dan banyaknya pembunuhan." (Riwayat al-Bukhari)
Masa yang berlalu dengan begitu pantas berdasarkan hadis di atas dapat difahami dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api." (Riwayat at-Tirmizi)
Oleh itu apakah perkara terbaik yang patut kita laksanakan sebagai persediaan setiap kali menjelang tahun baharu Hijrah?
Islam sangat menekankan kepada umatnya untuk sentiasa menjadi lebih baik dan meningkatkan amal kebajikan yang dilakukan dalam seharian. Oleh itu, untuk memastikan setiap diri kita dapat memajukan amalan yang dilakukan adalah dengan menghitungkan segala amal perbuatan sama ada secara harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan. Perhitungan ini diistilahkan sebagai muhasabah di sisi ahli tasawuf.
Muhasabah menurut Imam al-Ghazali adalah perhitungan seorang hamba terhadap setiap gerak-geri dan diam yang dilaluinya umpama seorang pedagang yang memperhitungkan modal, untung serta rugi. Modal seorang hamba pada agama adalah ibadah fardu, keuntungannya adalah ibadah sunat, manakala kerugiannya pula adalah pada perbuatan maksiat.
Dalam Islam muhasabah ini bertujuan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT (habluminallah), hubungan sesama manusia (habluminannas) serta hubungan dengan diri sendiri (habluminannafsi). Firman Allah Taala dalam Surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatkannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Ayat ini menunjukkan isyarat agar setiap orang sentiasa membuat perhitungan terhadap amalan yang sudah dilakukan. Kemudian segera disusuli pula dengan perhitungan akan datang, esok hari dan seterusnya. Perhitungan yang dilakukan hendaklah bersegera memohon ampun atau taubat kepada Allah bagi segala dosa dan maksiat yang dilakukan agar tidak mengulanginya semula.
Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
Imam Al-Ghazali menyatakan dalam Kitab Ihya' Ulumuddin taubat yang dimaksudkan adalah meneliti segala sesuatu amalan setelah selesai dilakukan dengan perasaan menyesal dan takut. Menyesal kerana terlampau sedikit sekali amalan yang sudah dilakukan dan takut kerana khuatir apakah amalan yang hanya sedikit itu diterima atau tidak oleh Allah SWT.
Umar RA juga ada berpesan berkata: "Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitungkan oleh Tuhan dan timbanglah dulu amalan kamu sebelum kamu ditimbangkan pada Hari Kiamat."
Sekiranya kita berasakan sepanjang setahun lalu ada yang kurang atau terlambat dikerjakan, hendaklah dipenuhi hingga mencukupi. Seterusnya, jika setelah menunaikannya masih lagi ada kekurangan, hendaklah memaksa diri untuk menambah kekurangan itu dengan cara memperbanyakkan amalan sunat.
Justeru itu, marilah kita sama-sama melakukan perhitungan terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu adakah sudah mencapai azam seperti yang kita niatkan pada awal tahun. Moga-moga kita termasuk dalam kalangan golongan yang berjaya seperti dalam sabda Nabi SAW: "Orang yang berjaya adalah orang yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya seta berangan-angan terhadap Allah SWT."
Penulis Pengarah Akademik, Kolej Islam As Sofa
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... uhi-kemurkaan-allah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|