View: 700|Reply: 0
|
Siapa bakal menangis, TFC atau Selangor?
[Copy link]
|
|
Pemain Selangor FC menjalani latihan menjelang aksi menentang TFC malam ini. - FB Selangor FC
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) atau Selangor yang akan menangis?
Persoalan itu hanya akan terjawab selepas berakhir aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Berdasarkan prestasi dan kedudukan dalam Liga Super sepanjang musim ini, kedua-dua pasukan itu tidak jauh beza apabila masing-masing menghuni tangga kelima dan ketujuh.
Justeru, skuad Penyu dan Gergasi Merah boleh dianggap sebagai lawan yang sepadan dengan peluang 50-50 dimiliki mereka untuk merebut slot ke final Piala FA.
Aksi di laman sendiri mungkin menjadi kelebihan buat TFC yang mana skuad Penyu juga belum pernah tewas di gelanggang mereka musim ini.
Malah, anak buah Nafuzi Zain juga bakal mendapat tonik tambahan apabila puluhan ribu penyokong dijangka membanjiri gelanggang keramat mereka untuk perlawanan malam ini.
Namun, harus diingat bahawa Selangor mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pasukan yang berada pada prestasi terbaik, Sabah di gelanggang lawan dan ia menunjukkan tidak mustahil perkara sama boleh dilakukan Gergasi Merah di Kuala Terengganu.
Statistik rekod pertemuan juga dilihat lebih memihak TFC yang mana mereka tidak pernah kalah di tangan Selangor sejak tiga tahun lalu dan kali terakhir Gergasi Merah berjaya menjinakkan skuad Penyu pada Mac 2019 dalam aksi Liga Super.
Tujuh pertembungan kedua-dua pasukan dalam perlawanan kompetitif seterusnya menyaksikan hanya keputusan seri 3-3 pada Mac 2020 menjadi pencapaian terbaik diraih Gergasi Merah berdepan skuad Penyu.
Bagaimanapun semua itu pasti tidak akan menjadi perkara yang perlu difikirkan anak buah Michael Feichtenbeiner kerana fokus utama mereka ketika ini hanya wajib menang dan mara ke final.
Harapan besar diletakkan penyokong Selangor untuk melihat pasukan mereka mencapai sesuatu yang positif dalam Piala FA terutama selepas menampilkan prestasi turun naik di Liga Super.
Kekalahan menyakitkan di laman sendiri ketika berdepan Negeri Sembilan, Ahad lalu harus dilupakan sepenuhnya dan Gergasi Merah perlu mengamuk di 'kandang' skuad Penyu.
Bukan sahaja Selangor, TFC juga sebenarnya berdepan prestasi kurang konsisten dalam Liga Super dan kedua-duanya boleh dianggap sama-sama terdesak untuk menjadikan Piala FA sebagai medan memikat hati penyokong.
https://www.bharian.com.my/sukan ... s-tfc-atau-selangor |
|
|
|
|
|
|
| |
|