View: 731|Reply: 0
|
TFC mara suku akhir Piala FA
[Copy link]
|
|
FAIZ Nasir (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menempah slot ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain bakal bertemu bekas gurunya, Irfan Bakti Abu Salim yang kini membimbing pasukan Kuching City FC.
Terdahulu, skuad Penyu yang masih segar hasil kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC Ahad lalu dalam saingan Liga Super bermula garang apabila hampir mendahului pelawat pada minit pertama perlawanan.
Namun percubaan penyerang utamanya, Kpah Sherman berjaya dihalang penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kasim yang turut berperanan sebagai kapten skuadnya.
Bagaimanapun lima minit berselang, stadium yang dibanjiri 11,700 peminat setia kembali bergema apabila pemain paling rendah dalam padang, Faiz Nasir menanduk masuk hasil umpanan Mohd Faisal Halim untuk skuadnya mendahului 1-0.
TFC yang mendominasi permainan terus bernafsu memburu gol tambahan dengan mengasak bertali arus ke kubu pelawat dalam aksi berintensiti tinggi itu, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad Kenari.
Peluang terbaik buat tuan rumah memperoleh gol kedua hadir pada minit ke-24 menerusi percubaan Faisal, namun Mohd Ifwat lebih pantas menghalang pemain kelahiran Pulau Pinang itu melakukan percubaan.
Begitu juga percubaan pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu pada minit ke-42 hasil hantaran Sherman berjaya dihalang pertahanan pelawat sekali gus melegakan kem TFC.
Sepanjang babak pertama hanya satu percubaan tepat dimiliki pelawat menerusi rembatan leret pemain gantian, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli pada minit ke-45 yang mudah ditangkap penjaga gol, Suhaimi Husin.
Pada minit ke-50, skuad Penyu terpaksa beraksi sepuluh pemain selepas pertahanan import dari Senegal, Pape Diakite dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob kerana mengasari penyerang lawan, Wanja Ngah.
Sedar kerap diasak, Nafuzi melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Zuasyraf Zulkiefle dan Syafik Ismail untuk mengimbangi kekuatan lawan yang memiliki kelebihan seorang pemain.
Taktikal itu berjaya menghalang lawan daripada mendapatkan jaringan hingga tamat perlawanan dengan kedudukan kekal 1-0 memihak kepada tuan rumah.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... suku-akhir-piala-fa |
|
|
|
|
|
|
| |
|