GEORGETOWN: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bersedia menaikkan kadar pembiayaan Skim Kontrak-I daripada RM100,000 kepada RM200,000 kepada kontraktor G1 yang terkesan dengan kenaikan kos bahan binaan pada masa ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata secara dasar perkara itu tidak menjadi masalah kerana ia menggunakan sumber kewangan dalaman TEKUN Nasional tanpa membabitkan peruntukan kerajaan.
"Insya-Allah pada dasarnya sudah lulus. Saya akan bincang dengan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) untuk mendapatkan kebenaran Kementerian Kewangan.
"Sejak 2015 hingga sekarang, kita telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 bilion dengan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. TEKUN Nasional telah menyalurkan pinjaman sebanyak RM111 juta kepada 45,000 kontraktor G1.
"Hal ini menunjukkan apabila masuk fasa peralihan endemik kerja pembinaan kembali bangkit dan bidang ini sedang berjalan dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Aplikasi Pengecatan dan Lapisan Senibina anjuran Pusat Khidmat Kontraktor di sini, hari ini.
Noh berkata, kerajaan menerusi PKK turut menyediakan Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) yang menjadi satu lagi inisiatif bantuan berbentuk wang pendahuluan kepada kontraktor Bumiputera gred G1 hingga G5 untuk memulakan kerja kontrak Persekutuan yang diperoleh daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Setakat Jun ini, empat syarikat telah diberikan kelulusan pembiayaan membabitkan dana pinjaman sebanyak RM1,291,300.
Beliau berkata demikian mengulas isu hampir 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 ibarat gulung tikar apabila tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor, terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan situasi pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya komited menggalakkan pembabitan syarikat kontraktor Bumiputera dengan projek yang dibangunkan kerajaan.
Melalui data semasa sehingga Mei 2022, sebanyak 132,270 syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan sejumlah 70,748 kontraktor telah diberi pengiktirafan Sijil Taraf Bumiputera oleh PKK bagi semua gred.
Noh berkata, PKK juga berusaha membentuk jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan agar kontraktor Bumiputera tidak terpinggir berikutan cabaran arus ekonomi hari ini.
Katanya, penganjuran program seperti Pembangunan Kapasiti Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera dimana ia dilaksanakan ke arah meningkatkan kemahiran serta memberi nilai tambah kepada keterlibatan kontraktor dalam projek-projek yang dibangunkan Kerajaan.
"Bagi mencapai tujuan ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada tahun ini yang dijangka memanfaatkan seramai 5,520 kontraktor Bumiputera di seluruh negara," katanya.