|
HUSMIZAR Hussain melihat kambing yang sudah ditempah pelanggan untuk ibadah korban sempena sambutan Aidiladha bulan depan di Jalan Kolam, Kampung Alor Merah, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
ARAU: Penternak kambing di negeri ini tidak menang tangan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini apabila tempahan haiwan tersebut meningkat sehingga 40 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Peningkatan itu turut didorong apabila bekalan lembu pada tahun ini yang didakwa berkurangan sehingga 30 peratus seterusnya menyebabkan orang ramai beralih kepada kambing untuk ibadah korban.
Bagi seorang penternak, Husmizar Hussain, 42, dari Jalan Kolam, Kampung Alor Merah di sini, dia mampu menjual lebih 210 ekor kambing untuk ibadah korban tahun ini berbanding sekitar 150 ekor pada tahun lalu.
MENJELANG sambutan Aidiladha, Husmizar Hussain tidak menang tangan menerima tempahan kambing untuk ibadah korban di Jalan Kolam, Kampung Alor Merah, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Katanya, peningkatan tersebut juga didorong apabila umat Islam kembali boleh menunaikan ibadah korban seperti biasa selepas dua tahun berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujarnya, tempahan sempena Aidiladha tahun ini disifatkan antara paling tinggi sejak mula menternak kambing 12 tahun lalu.
“Memandangkan permintaan yang meningkat, saya menyediakan sehingga 300 kambing. Tahun ini paling banyak tempahan selepas PKP dua tahun lalu di mana ketika itu, saya hanya mampu jual 30 ekor sahaja.
“Selain itu, bekalan lembu yang dikatakan berkurangan tahun ini turut mendorong orang ramai memilih kambing untuk ibadah korban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Husmizar, kambing yang dijualnya adalah serendah RM700 sehingga RM3,000 bergantung kepada saiz haiwan berkenaan.
Katanya, dia tetap mengekalkan harga sedia ada disebalik kenaikan harga kos makanan haiwan ternakan tersebut sejak kebelakangan ini.
“Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada penduduk negeri ini, malah mereka yang tinggal di luar negeri ini juga membuat tempahan di sini.
“Kambing selalunya lebih mudah kerana boleh ambil pada bila-bila masa sahaja berbanding lembu yang memerlukan persediaan awal mengikut bahagian-bahagian,” katanya.
Seorang lagi penternak, Che Amah Che Mid,52, pula berkata, menjelang dua minggu sebelum Aidiladha, dia sudah menerima tempahan kambing untuk ibadah korban hampir 40 ekor.
“Tempahan kambing agak meningkat dengan saya menyasarkan menjual kambing sehingga 70 ekor dan lembu pula sudah terjual sekitar lima hingga enam ekor,” katanya. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita ... -sempena-aidiladha/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|