View: 650|Reply: 0
|
Thailand bukan lawan mudah
[Copy link]
|
|
SKUAD B-23 negara giat menjalani latihan. FOTO FAM
Kuala Lumpur: Tiada istilah perlawanan mudah buat pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney apabila menjangkakan tentangan sengit pasti diberikan Thailand pada perlawanan kedua Kumpulan C Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan, esok.
Maloney melihat Thailand akan menurunkan barisan terkuat bagi meraih kemenangan pertama selain turut mahu membalas dendam kekalahan di peringkat kumpulan dekat temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam awal bulan lalu.
Thailand tampil berbeza kali ini apabila membariskan pasukan terkuat mereka dengan menyenaraikan sembilan pemain yang berpangkalan di luar negara seperti Thanawat Suengchitthawon yang beraksi di Leicester City di England, Yannick Nussbaum dari BSC Young Boys (Switzerland) dan Nicholas Mickelson (OB, Denmark).
Malah, selain tiga pemain terbabit, pemain campuran lain yang berada dalam skuad Thailand adalah Chayapipat Supunpasuch (Estoril, Portugal), Achitpol Keereerom (Augsburg II, Jerman), Ben Davis (Oxford United, England), Channarong Promsrikaew (Union Adarve, Sepanyol) dan Jonathan Khemdee (OB, Denmark).
Maloney berkata, anak buahnya sudah pasti melalui satu lagi tugas getir dalam usaha meraih kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.
Beliau berkata, ketika ini barisan kejurulatihan melakukan persiapan rapi dengan memastikan pemain berada pada tahap optimum seterusnya bersedia mencipta keputusan positif apabila bertemu Thailand di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan.
"Kita sudah melalui perlawanan yang cukup mencabar apabila menentang juara bertahan, Korea Selatan dan kini ada satu lagi aksi sukar menanti pasukan negara iaitu Thailand.
"Kami boleh jangka bukan perlawanan yang mudah. Kami sudah bertemu Thailand beberapa kali dalam beberapa bulan ini, mereka adalah pasukan yang bagus.
"Saya juga nampak mereka juga ada membawa beberapa pemain dari luar negara, jadi kami jangka ia perlawanan yang sukar," katanya.
Anak buah Maloney bakal mengharungi aksi kedua mereka bertemu Thailand esok sebelum menutup kempen kumpulan C menentang Vietnam pada 8 Jun.
Kemenangan menentang Thailand sudah pastinya akan mencerahkan peluang pasukan negara untuk meraih slot ke pusingan seterusnya terutama selepas skuad Gajah Putih itu seri bertemu Vietnam pada perlawanan pertama mereka tempoh hari.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... d-bukan-lawan-mudah |
|
|
|
|
|
|
| |
|