Tindakan seorang pengasas telekung jenama Telekung Haliza Maysuri yang memperagakan telekung dengan harga mencecah RM16,000 itu mengundang kecaman dalam kalangan netizen yang mengatakan wanita itu riak.
Usahawan wanita itu, Haliza Maysuri berkongsi video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok memaparkan dirinya yang sedang memakai telekung berwarna hitam dihiasi dengan kilauan taburan kristal.
Menerusi rakaman yang juga disunting dengan tulisan ayat itu, wanita berusia 38 tahun itu menjelaskan memiliki telekung dengan harga sedemikian boleh mengurangkan rasa serba salahnya kerana memakai beg tangan yang berharga ribuan ringgit.
"Telekung harga RM16,000.00 untuk jumpa Allah. Baru rasa tak bersalah pakai beg tangan harga belasan ribu jumpa kawan-kawan.
"Semuanya Allah yang bagi," coretnya.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, rata-rata ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Haliza yang mendedahkan harga telekung yang dipakainya dalam video berkenaan.
Netizen mengingatkan usahawan itu bahawa Allah tidak melihat pada harga telekung yang dipakai oleh seseorang ketika dia solat namun menilai pada keikhlasan individu tersebut. -CARI
|