View: 645|Reply: 0
|
Pan-gon terpesona aksi pemain ke-12
[Copy link]
|
|
PAN-GON pada perlawanan aksi persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon nyata terpesona dengan 'aksi' pemain ke-12 di luar padang berbanding 11 tonggak yang bermain di atas padang ketika pasukan negara membenam Brunei 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Jelas Pan-gon, sepanjang 90 minit aksi persahabatan antarabangsa itu, beliau bukan hanya memerhatikan aksi anak buahnya sebaliknya turut melihat 'Ultras Malaya' yang tidak henti-henti memukul gendang dan menyorak untuk pemain negara.
Katanya, beliau mahu melihat lebih ramai lagi penyokong dapat membanjiri Bukit Jalil khususnya dalam aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Rabu ini, serta tiga aksi sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di venue sama minggu depan.
"Seperti biasa, ia adalah sokongan yang sangat membantu daripada Ultras Malaya. Ini yang kami nantikan. Mereka bersorak dan menyokong kami.
"Keseluruhannya kami sepatutnya memberikan aksi lebih baik. Begitupun, kami sangat menghargai penyokong bola sepak Malaysia yang hadir menyokong terutamanya Ultras Malaya yang menunjukkan semangat menyokong.
"Secara peribadi, untuk saya, saya lebih 'enjoy' dengan sorakan penyokong berbanding aksi perlawanan. Tetapi, selepas ini permainan kami harus lebih baik. Mungkin berdepan lawan yang lebih sukar, kami akan hasilkan aksi lebih baik," katanya.
Dalam saingan kelayakan itu nanti, Malaysia akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E itu nanti.
Tambah Pan-gon lagi, beliau mahu penyokong terus memberikan sokongan tanpa henti dan elak daripada mengkritik pemain jika ada kesilapan dalam perlawanan.
"Anda mungkin marah atau kecewa namun kami cuba sedaya upaya untuk membanggakan anda dengan memberikan prestasi yang lebih baik dan bukannya bola sepak negatif.
"Jika mereka (pasukan) menangis, kami menangis, kami mesti menyokong penuh pemain," katanya yang dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe selepas jurulatih tempatan itu meletakkan jawatan pada Januari lalu di atas kegagalan di Piala AFF di Singapura, Disember tahun lalu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-aksi-pemain-ke-12 |
|
|
|
|
|
|
| |
|