View: 340|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Irfan teringin naik pesawat pejuang sebelum akhir hayat
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0515rsall_1652576285.jpg)
Hasrat pesakit Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir, Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri (kiri), 15, bagi menaiki pesawat pejuang bakal ditunaikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkalan di Butterworth di sini. FOTO IHSAN FOCCAN
Georgetown: "Doktor pakar maklumkan anak sudah pada tahap akhir dan hayatnya tidak lama. Kami juga disaran penuhi hasratnya selain kerap ambil gambar bersamanya untuk kenang-kenangan," kata Mazatul Rohana Saleh, 50.
Mazatul ibu kepada Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, yang juga pesakit kanser Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir.
Berkongsi kisah anaknya, Mazatul berkata, anak keempat daripada lima beradik yang disahkan mengidap kanser sejak 2021, dibenarkan pulang ke rumah pada Khamis lalu selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurutnya, kepulangan Muhammad Irfan Mikail ke rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis, kali ini diselubungi rasa pilu kerana doktor mengesahkan bahawa penyakitnya sudah tiada harapan lagi bagi disembuhkan.
"Jantung saya ibarat direntap selepas diberitahu doktor mengenai perkara itu namun sebagai ibu, saya masih berharap adanya keajaiban.
"Sebelum ini dia hanya mahu makan masakan saya iaitu sambal ikan bilis petai yang juga kegemarannya, namun sejak kebelakangan ini dia sudah tiada selera makan," kata peniaga makanan itu ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, Muhammad Irfan Mikail disahkan mengidap penyakit berkenaan selepas tiba-tiba mengalami sesak nafas dan bengkak di muka serta anggota badan.
Mazatul Rohana berkata, anaknya sebelum ini adalah remaja periang dan lasak serta disenangi guru dan rakan di sekolah.
Katanya, minggu lalu Muhammad Irfan Mikail yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang memberitahunya bahawa dia mahu menaiki pesawat pejuang.
"Buntu bagi menunaikan hasratnya, saya menghubungi Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) (Maznah Tayib) dua hari lalu dan tidak menyangka saya dikhabarkan bahawa TUDM sudi menunaikan permintaan itu.
"Tiada yang dapat saya katakan selain daripada syukur dan terima kasih kepada TUDM dan FOCCAN," katanya lagi.
Sementara itu Maznah ketika dihubungi berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada TUDM yang berpangkalan di Butterworth atas timbang rasa dalam menunaikan hasrat akhir remaja berkenaan yang dijangka berlangsung Rabu ini secara tertutup.
"Difahamkan penglihatan Muhammad Irfan Mikail tidak begitu baik berikutan urat matanya sudah pecah namun kita berdoa semoga semuanya berjalan lancar," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sebelum-akhir-hayat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|