View: 408|Reply: 0
|
JDT ibarat skuad Malaysia
[Copy link]
|
|
Masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencipta satu lagi sejarah hebat layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia.
Selepas muncul satu-satunya kelab Malaysia dan Asia Tenggara menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2015, kejayaan ini menjadi satu lagi langkah ke depan berjaya dicipta oleh Harimau Selatan.
Hakikatnya, ini adalah hasilnya apabila satu-satu kelab memiliki misi dan visi secara jelas serta diketuai oleh individu tepat seperti dilakukan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak mula menjenamakan semula pasukan pada 2012.
Tidak dapat lari, pasti ada kata-kata sinis yang memperdebatkan kejayaan JDT, namun apa juga tohmahan, juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu sudah pun menjadi dua pasukan Asia Tenggara terbaik, masih kekal di saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini bersama wakil Thailand, BG Pathum United.
Walaupun JDT tidak menyarung jersi Harimau Malaya, pencapaian menjuarai Kumpulan I dengan menyingkirkan bekas juara 2020, Ulsan Hyundai dan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale wajar dibanggakan oleh segenap peminat bola sepak di negara ini.
Ada yang berpendapat kejayaan JDT ini hanya berteraskan kepada ‘orang asing’ tetapi hakikatnya bola sepak kini makin profesional dan istilah anak jati bukan lagi menjadi isu yang harus dibangkitkan.
Namun daripada enam perlawanan Kumpulan I, Harimau Selatan masih lagi memberi kepercayaan dan mempertaruhkan muka tempatan seperti Arif Aiman Hanapi, Farizal Marlias mahu pun Shahrul Saad.
Apa juga pendekatan yang diambil oleh Harimau Selatan, kejutan yang dilakar JDT sudah pun mendapat perhatian daripada pihak luar termasuk komuniti bola sepak di luar negara.
“Diharapkan J League (Liga Jepun) perhatikan kebangkitan kelab ASEAN. Prestasi JDT cukup mengagumkan apabila mereka menumbangkan juara Jepun (Kawasaki Frontale) dan bekas juara Liga Juara-Juara Asia,
Ulasan Hyundai,” menurut satu akaun media sosial Twitter bola sepak Jepun, J. Football Now.
Selain menjadi topik di Asia, kejayaan JDT juga turut mendapat perhatian di Amerika Latin apabila media di Mexico juga melaporkan tentang kejayaan jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora di pentas Liga Juara-Juara Asia.
Secara tidak langsung, apa yang sudah dihadirkan JDT pada penyertaan di Liga Juara-Juara Asia kali ini menghadirkan publisiti kepada kelab itu dan industri bola sepak negara juga turut terima tempiasnya.
“Benjamin Mora lakar sejarah di Asia. Pakar strategi Mexico layak ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara Asia bersama Johor, kelab Malaysia pertama melakukannya,” memetik tajuk laporan di portal as.com.
Jadi sudah tiba masanya untuk semua orang berhenti menyindir JDT kerana ia sedang mencari peluang untuk kelab tempatan lain bersaing di pentas tertinggi bola sepak Asia.
JDT kini berada di tangga ke-10 dalam ranking Pertandingan Kelab AF, mengumpul 39.918 mata sekali gus muncul di tempat keempat terbaik daripada negara Asia wilayah timur.
Jika kedudukan itu kekal, ia akan menawarkan dua slot automatik kepada kelab Malaysia bersaing di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bermula 2024.
Di pusingan 16 terbaik, JDT dijadualkan bertemu satu lagi wakil Liga Jepun, Urawa Red Diamonds pertengahan Ogos ini.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini apabila pasukan mencipta sejarah. Kami adalah pasukan kecil, namun memiliki keyakinan tinggi.
“Kelab ini mahu berada di puncak, lebih banyak lagi akan hadir daripada JDT. Terima kasih kepada penyokong yang setia dan kejayaan ini adalah untuk mereka,” kata Mora.
https://www.kosmo.com.my/2022/05/14/jdt-ibarat-skuad-malaysia/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|