![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/letoppbohh_1652275506.jpg)
Laporan BH Online mengenai kejadian tong gas meletup di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Ahad lalu.
GEORGETOWN: Kanak-kanak lelaki enam tahun yang dilaporkan dalam kritikal susulan insiden letupan tong gas memasak di Taman Cenderawasih, Jawi, Nibong Tebal, Ahad lalu, selamat menjalani pembedahan petang tadi.
Seorang daripada mangsa, G Kumaraguru, 48, berkata anak saudaranya, M Danesh, 6, menjalani prosedur pembedahan itu jam 4.30 petang tadi.
"Saya hanya mampu lihat dia dari luar kerana dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, kami di Unit Luka Bakar Hospital Pulau Pinang.
"Semasa saya lawat dia, memang nampak dia menjerit, menangis dengan hampir keseluruhan wajah, dua kaki dan dua tangannya berbalut disebabkan melecur," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kumaraguru berkata, Danesh mempunyai saudara lelaki kembar yang tidak mengalami kecederaan, manakala bapa kanak-kanak itu bekerja di Singapura.
Dia berkata, seramai sembilan orang tinggal di rumah berkenaan dengan dia mengalami kecederaan di bahagian kaki, lutut dan paha.
"Tahap kecederaan Danesh ialah 33 peratus, dua anak perempuan saya berumur 20 dan 15 tahun, masing-masing 18 dan 17 peratus. Saya juga ada penyakit jantung dan tidak tahu bila kami dibenarkan balik ke rumah.
"Sebenarnya saya sedang menunggu untuk dipindahkan ke wad lain dan masih belum tahu akan ditempatkan di mana," katanya.
Insiden jam 9.30 malam itu menyebabkan empat penghuni cedera dan beberapa rumah rosak dengan sebahagian struktur dinding runtuh.