CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 926|Reply: 0

Ganjaran seribu bulan

[Copy link]
Post time 27-4-2022 05:54 AM | Show all posts |Read mode
Ganjaran seribu bulan


UMAT Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan.

Umat Islam kini menuju fasa terakhir bulan Ramadan. Tumpuan seharusnya diberikan kepada misi memburu Lailatulqadar iaitu suatu malam yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan yang berlaku hanya dalam bulan Ramadan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan."

Pada malam Lailatulqadar, Malaikat Jibril AS menampakkan dirinya kepada Rasulullah SAW bagi menyampaikan wahyu. Malaikat turun ke dunia menyertai manusia pada malam tersebut kerana kelebihan dan keberkatannya. Justeru umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan agar dapat merebut ganjaran pahala berlipat ganda pada malam tersebut.

Ulama berpendapat sebaik-baik amal soleh yang dilaksanakan adalah pada malam qadar kerana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: "Malam qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan." Selain itu, Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut seperti kata Imam Qurtubi: "Mereka turun dari setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar." Pada malam berkenaan turunnya malaikat dan Jibril AS yang membawa rahmat dengan perintah Tuhan. Pada malam tersebut juga dijamin keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbit fajar. Al-Qurtubi menukilkan pandangan Mujahid yang menyatakan: "Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut."

Sebahagian ulama telah menjelaskan dalam kitab masing-masing tentang tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat oleh hamba Allah yang diizinkan-Nya pada setiap tahun di bulan Ramadan. Banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat yang membincangkan tanda-tanda tersebut antaranya Ubadah bin al-Somit RA berkata: "Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut."

Daripada Ubay bin Kaab RA menyatakan daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan."

Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas'ud berkata: "Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar."

Bagi memburu kelebihan Lailatulqadar, kita hendaklah sentiasa berusaha melakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang bulan Ramadan. Peliharalah tingkah laku dan pertuturan pada setiap masa. Penuhilah kesempatan waktu dan sibukkanlah diri dengan aktiviti qiamullail, beriktikaf, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, bermunajat dan berdoa terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Antara doa yang digalakkan adalah yang ringkas dan padat sebagaimana hadis daripada Aisyah RA bahawa beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan? Baginda bersabda maksudnya, "Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku." - (Riwayat al-Tirmizi). Dalam sebuah hadis yang lain daripada 'Aisyah RA katanya bermaksud: "Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)." (Riwayat Muslim)

Pada 10 malam terakhir Ramadan ini, setidak-tidaknya berusahalah untuk beristiqamah menunaikan solat fardu terutamanya Isyak dan Subuh secara berjemaah. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn 'Abbas RA maksudnya: "Menghidupkan malam Lailatulqadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua." Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta' bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: "Sesiapa yang bertemu dengan Lailatulqadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu." Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie Rahimahullah dalam pendapat lamanya: "Sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh pada malam Lailatulqadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya." Allah SWT merahsiakan malam al-Qadar daripada pengetahuan hambanya supaya ia menjadi pendorong kepada kita untuk berusaha pada setiap masa bagi mendapatkannya. Selain itu, ia juga menjadi rahsia Allah SWT agar umat Islam sentiasa melaksanakan ibadah dengan bersungguh-sungguh pada setiap malam di bulan Ramadan dengan harapan dianugerahkan Lailatulqadar yang diimpikan.

Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan dan memperbaiki kualiti amal ibadah pada setiap masa. Tunaikanlah pelbagai amal soleh sepanjang bulan Ramadan yang masih berbaki sama ada secara bersendirian, bersama rakan-rakan di pejabat, ahli keluarga di rumah atau melaksanakannya secara berjemaah di masjid dan surau berhampiran kediaman mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, masjid dan surau juga mengadakan pelbagai program bagi menghidupkan malam Ramadan seperti kempen bersedekah, tadarus dan tadabbur al-Quran, solat sunat Tarawih, dan qiamullail secara berjemaah. Rebutlah peluang dan kesempatan yang diberikan dengan menjadikan Ramadan kali ini sebagai yang terbaik dalam kehidupan serta berdoa agar dianugerahkan malam al-Qadar dan dapat bertemu dengan Ramadan yang akan datang.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... njaran-seribu-bulan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
...BYE 2024, HELLO 2025...
seribulan...BYE 2024, HELLO 2025...
Views : 54993 Replies : 13
...AZAM TAHUN 2025...
seribulan...AZAM TAHUN 2025...
Views : 55522 Replies : 25
New Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanlah mimpi-mimpi terindah
codenamedreamNew Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanla
Views : 43345 Replies : 1687
Acikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikorek
maklukpenggodaAcikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikore
Views : 49926 Replies : 1378
Air laut di Thailand penuh najis manusia
ultra78Air laut di Thailand penuh najis manusia
Views : 34062 Replies : 10
Nenek pun boleh....
maklukpenggodaNenek pun boleh....
Views : 10411 Replies : 16
madu gula tok matahari
aaanf14madu gula tok matahari
Views : 109476 Replies : 1139
Skandal 18 polis yang memalukan Indonesia
maklukpenggodaSkandal 18 polis yang memalukan Indonesi
Views : 94030 Replies : 48
Berita malam seram:Viral isu Iblis, syaitan dan sekutunya bina HQ di tengah laut.”
YgBenarBerita malam seram:Viral isu Iblis, syai
Views : 30422 Replies : 52
'Syarikat insurans untung bilion, anehnya mahu naikkan premium hingga 70 peratus'
Abahmung'Syarikat insurans untung bilion, an
Views : 17926 Replies : 53

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 01:10 PM GMT+8 , Processed in 0.063162 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list