Mungkin seseorang itu sentiasa berhati-hati dalam setiap urusan jual beli yang dilakukannya bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa penipuan. Namun, adakalanya perkara ini sukar untuk dijangka dan akhirnya tetap masuk ke perangkap 'scammer' yang selalu menukar taktik penipuan hingga menyukarkan orang ramai dapat menghidu tembelang sebenar mereka.
Di Twitter, Mukhrahza mendedahkan dia telah menjadi mangsa penipuan apabila membuat pembelian peti sejuk menerusi Whatsapp. Jejaka itu mengakui, dia adalah individu yang mudah percaya apabila kredibiliti sesebuah produk mahu pun 'seller' disokong dengan maklum balas pembeli.
Mukhrahza yang juga seorang mahasiswa di sebuah kolej membuat keputusan untuk menceritakan kisah itu di media sosial agar orang ramai dapat menjadikan perkara itu sebagai iktibar sekali gus mengelakkan individu lain turut menjadi mangsa sama seperti dirinya.
"Dia yakinkan aku gila-gila. Aku jenis percaya fast response ni. Sebelum ini tak pernah kena macam ni. Aku urgent nak pakai peti ais sebab nak simpan susu apa semua. Aku cuma student yang duduk bilik sewa sorang-sorang.
"Aku beli peti ais harga RM310. Aku tanya ada cas tambahan tak, dia kata cuma RM310 tu je total. Memang kaw-kaw. Ini kali pertama kena tapi aku teruk gila sebab ini duit biasiswa aku. Aku perlukan peti ais cepat sebab aku jenis suka memasak," tulisnya.
Berdasarkan gambar tangkap layar perbualan pemuda dan 'penjual' terbabit, Mukhrahza tiba-tiba diminta untuk melakukan bayaran tambahan sebanyak RM250 untuk bayaran sanitasi pakej yang dibeli sebelum dihantar kepada pelanggan.
Namun, tidak dapat dipastikan status sebenar bayaran tambahan tersebut kerana 'penjual' memaklumkan wang berkenaan akan dipulangkan semula kepada Mukhrahza ketika barang yang dibeli dihantar kepadanya.
Bagaimanapun, 'penjual' tersebut sekali lagi meminta Mukhrahza untuk melunaskan bayaran tambahan RM400 untuk penghantaran. Dia kemudian mulai menyedari dirinya sudah termasuk dalam perangkap 'scammer'. -CARI
|