CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 372|Reply: 0

[Pulau Pinang] Haja Mohideen si pembuat songkok tradisional

[Copy link]
Post time 10-4-2022 02:49 PM | Show all posts |Read mode
Edited by mattzzx at 11-4-2022 10:43 AM


Haja Mohideen akan terus menghasilkan songkok sehingga akhir hayatnya.

GEORGETOWN - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail antara orang kenamaan yang pernah menempah songkok dengannya.

Ketelitian dan kehalusan hasil kerjanya antara penyebab songkok buatan Haja Mohideen Mohd Shariff, 74, begitu diminati termasuk oleh golongan orang kenamaan.

Haja Mohideen merupakan pembuat songkok secara tradisional di Pulau Pinang sejak dia berusia 14 tahun lagi, malah kedai kecilnya itu sudah pun berusia 86 tahun.

Mengimbas bagaimana dia mula terlibat dengan perniagaan itu, Haja Mohideen memberitahu pada ketika itu, dia hanya berusia 12 tahun dan menolong arwah bapanya selepas waktu persekolahan, namun mula serius selepas tamat Tingkatan Lima.

Menurut beliau, bermula dengan niat membantu bapa, akhirnya ia menjadi kerjaya tetap sehingga sekarang.


Haja Mohideen bersama menantunya, Abdul Kader menyiapkan songkok ditempah pelanggan.

“Saya merupakan generasi kedua dan menantu saya yang kini sedang menolong saya adalah generasi ketiga.

Saya bersyukur kerana masih mampu bekerja dan membuat songkok secara tradisional, malah menjadi sumber pendapatan saya lebih 50 tahun lalu.

“Saya tidak sangka, dengan keikhlasan dalam setiap pembuatan songkok saya, ia menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini baru-baru ini.

Haja Mohideen melahirkan rasa gembira dan beruntung apabila hasil kerjanya mendapat perhatian orang kenamaan.

“Antara orang kenamaan yang pernah menempah songkok daripada saya adalah Raja Perlis ketika baginda masih menjadi Raja Muda Perlis. Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah datang ke kedai saya untuk menempah songkok.

“Paling tidak boleh saya lupakan, Tun datang sehari sebelum beliau angkat sumpah menjadi Perdana Menteri kelima dahulu.

Selain Tun dan Raja Perlis, barisan pemimpin kerajaan Pulau Pinang pun tempah songkok daripada saya,” katanya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, sebulan sebelum Ramadan, dia yang mengusahakan perniagaan bersama menantu, Abdul Kader Mohammed Mydin akan mula sibuk dengan tempahan.

Tambah beliau, kedainya menyediakan pelbagai jenis dan bentuk songkok antaranya Pakistan, Melayu, Turki dan Karzai.

“Bukan hanya pelanggan tempatan, ada juga yang dari luar negara seperti Singapura.

Kedai ini dibuka oleh arwah bapa saya dengan nama OSM Mohd Shariff.

Dari dulu, di sinilah kami mencari rezeki.

“Pelanggan tetap dah tahu kedai ini yang terletak di Lebuh King, bersebelahan Masjid Nagore.

Mereka akan singgah untuk membuat tempatan sekiranya ada majlis perkahwinan, perayaan atau majlis rasmi,” katanya.

Mengulas tentang kelebihan songkok buatannya, Haja Mohideen memberitahu, songkoknya masih dibuat secara tradisional dengan menggunakan mesin jahit.


Pembuatan yang teliti selain secara tradisional membuatkan songkok Haja Mohideen digemari pelanggannya.

“Mesin ini digunakan oleh arwah bapa saya dan sehingga kini, ia masih elok.

Malah saya menggunakannya untuk menyiapkan tempahan.

Kualiti songkok saya lain kerana dibuat dengan tangan, jika nak dibandingkan dengan songkok di pasaran.

“Kebanyakannya dibuat menggunakan mesin.

Berbeza dengan songkok yang saya buat, rangka dalam songkok dibuat daripada 18 lapisan menggunakan kertas surat khabar lama yang dijahit dengan satu lapisan kertas coklat dan lapisan kain.

“Potongan songkok akan dibuat mengikut saiz kepala pelanggan yang mana, rangka berbentuk segi empat tepat juga menggunakan bahan yang sama.

Ia perlu dibuat dengan teliti kerana ia akan membuatkan songkok itu ‘sedap’ dipakai. Songkok yang telah siap akan terletak tegak dan muat di atas kepala pelanggan,” katanya.

Haja Mohideen menambah, dia akan meneruskan perniagaannya itu sehingga ke akhir hayat kerana minat terhadap pembuatan songkok selain ia merupakan perniagaan diusahakan sendiri oleh bapanya.

“Saya bersyukur kerana menantu saya juga berminat untuk meneruskan perniagaan ini. Ini kerana, pembuatan songkok tradisional ini hampir pupus,'' ujarnya.

Mengulas mengenai penjualan pada tahun ini memandang rakyat Malaysia dibenarkan untuk pulang beraya, Haja Mohideen berkata, dia menyasarkan mampu menjual 300 buah songkok sepanjang Ramadan ini.

“Saya dan menantu sasar 10 buah songkok setiap hari, tak boleh lebih sebab sebuah songkok mengambil masa dua jam untuk disiapkan.

Disebabkan tahun ini hari raya dijangka meriah, kami akan buat seberapa yang boleh.

“Kami juga menjual songkok secara dalam talian selepas negara dilanda Covid-19,” katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... songkok-tradisional
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-11-2024 02:05 AM GMT+8 , Processed in 0.032416 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list