GEORGETOWN: Pulau Pinang merancang melaksanakan strategi pemasaran rentas industri 'tiga dalam satu' bagi merangsang dan menarik permintaan pelancongan negeri ini dalam pasaran antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin, berkata strategi itu membabitkan penerbangan, hotel serta tarikan bagi memastikan Pulau Pinang mendapat kekuatan penuh dalam tempoh pemulihan kini.
Beliau berkata, Malaysia Aviation Group (MAG) juga akan menjadikan kembali Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai hab pangkalan wilayah utara bagi Firefly, berkuat kuasa 11 April ini.
"Berikutan itu, latihan pertama yang akan kita lihat menerusi strategi 'tiga dalam satu' ini ialah pemberian diskaun tiket penerbangan Firefly bagi pelancong yang menginap melebihi satu malam di hotel di Pulau Pinang.
"Melalui strategi pemasaran ini, usaha pengiklanan dan promosi juga akan tertumpu kepada mempromosikan tarikan bagi merangsang ekonomi pelancongan di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, difahamkan Firefly bercadang melancarkan laluan penerbangan baharu ke negara Asia Tenggara yang lain, selain menghubungkan Pulau Pinang dengan Malaysia Timur meliputi Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, beliau berkata, penerbangan boleh dijangkakan daripada pelancaran semula itu ialah penerbangan terus dari Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru ke Pulau Pinang.
"Tiga bulan pertama selepas pembukaan semula sempadan Malaysia adalah tempoh keemasan bagi memulihkan industri ini.
"Agensi seperti Penang Global Tourism dan Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) sudah memulakan pemulihan rancangan bagi pelancongan santai serta pelancongan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE)," katanya.