CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 528|Reply: 0

[Pulau Pinang] Syarikat pemaju degil berdepan tindakan undang-undang

[Copy link]
Post time 20-2-2022 08:27 PM | Show all posts |Read mode
Syarikat pemaju degil berdepan tindakan undang-undang
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 20 Februari 2022


Syarikat pemaju dan kontraktor didapati masih menjalankan aktiviti di tapak walaupun kelulusan EIA sudah tamat tempoh.


BAYAN LEPAS - Sebuah syarikat pemaju perumahan dan operator kuari diarahkan menghentikan kerja tapak serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas kelulusan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) aktiviti pengkuarian tamat tempoh pada 7 Disember tahun lalu.


Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemaju tersebut berdepan tindakan tegas sekiranya masih berdegil dengan menjalankan kerja tapak di situ selepas kelulusan EIA syarikat berkenaan tidak diperbaharui oleh JAS.


Menurutnya, notis itu turut mengarahkan supaya pemaju mengemukakan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi aktiviti perumahan mengikut kontur dalam tempoh enam bulan dari tarikh notis jika masih berminat untuk menjalankan aktiviti perumahan.


"Sekiranya tiada laporan EMP dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, pemaju dianggap tidak berminat meneruskan aktiviti perumahan.


"Sebarang permohonan pada masa akan datang tertakluk kepada keperluan menjalankan kajian EIA yang baru.


Tiada sebarang kerja dibenarkan dijalankan di tapak sehingga EMP dikemukakan dan disahkan oleh JAS," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Jelas Sharifah Zakiah, JAS Pulau Pinang sedang menyediakan kertas siasatan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah di atas kesalahan mengikut Seksyen 34 A, Seksyen 31 dan 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


Beliau berkata, tapak tersebut pada asalnya telah mendapat kelulusan bagi membangunkan projek perumahan mengikut kontur pada 18 Ogos 1994.


Bagaimanapun, kata Sharifah Zakiah, projek itu tertangguh beberapa kali dan pemaju menerusi kontraktornya telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan pengkuarian.


"Permohonan itu telah diluluskan pada 31 Oktober 2013 dengan mengambil kira jarak perumahan yang berada jauh pada waktu tersebut. Tempoh pengkuarian yang dibenarkan adalah selama tiga tahun dan tamat pada 31 Oktober 2016.


"Pemaju kemudiannya masih memohon pelanjutan tempoh pengkuarian dan telah diluluskan sebanyak tiga kali iaitu pada 2016, 2018 dan terakhir tamat pada 7 Disember 2021. Permohonan pelanjutan kuari ini tidak dapat dipertimbangkan lagi oleh JAS," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Tambah beliau, permohonan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana zon penampan terkini yang tidak mencukupi sehingga mencetuskan puluhan aduan berterusan yang diterima daripada penduduk setempat.


"Siasatan JAS terhadap aduan penduduk mengenai berlaku gegaran, bunyi bising, habuk, runtuhan dan 'fly rock' (lantunan batu) adalah berasas.


Kita juga mendapati, jarak terkini kuari dengan kawasan perumahan terdekat adalah kira-kira 70 meter.


"Kita juga berpandangan bahawa pemaju telah diberi peluang yang mencukupi untuk merancang dan melaksanakan projek yang dirancang malah tapak ini juga pernah menerima beberapa Notis Arahan dan Notis Berhenti Kerja sepanjang operasi atas isu-isu kacau ganggu yang sama," katanya.


Jelasnya, selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan, JAS masih menerima aduan penduduk terdekat bahawa kuari masih beroperasi dan menimbulkan kacau ganggu.



Pemaju berdepan tindakan tegas kerana masih berdegil menjalankan kerja tapak.


"Intipan menggunakan dron dan siasatan pada 14 Februari lalu mendapati, premis masih menjalankan aktiviti pemecahan batu (crushing) dan menggunakan 'water cannon' yang menghasilkan bunyi bising sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.


"Kita telah memanggil pemaju dan kontraktor untuk diberi nasihat agar mematuhi arahan untuk tidak menjalankan aktiviti kuari selepas tempoh kelulusan laporan EIA kuari tamat.


"Bagaimanapun, pemaju dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perumahan yang telah mendapat kelulusan EIA pada 18 Ogos 1994 di tapak yang sama dengan syarat, pemaju perlu mengemukakan EMP yang mengkaji semula kaedah-kaedah kerja tanah dan pembangunan mengikut kontur," katanya.


Sharifah Zakiah berkata, pemaju juga perlu mengemukakan langkah-langkah kawalan alam sekitar yang bersesuaian.


"Dalam pertemuan pada 18 Februari lalu, pemaju telah membuat perakuan untuk mengambil langkah mematuhi arahan tersebut namun pada keesokkan harinya, pemaju masih berdegil dengan menjalankan aktiviti di tapak.


"Walaupun tapak masih ada permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain, namun oleh kerana tapak ini tertakluk kepada kelulusan EIA, maka tiada aktiviti boleh dijalankan selepas tempoh kelulusan pengkuarian di bawah Perintah EIA tamat dan tidak dilanjutkan," katanya.




Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... dakan-undang-undang
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-9-2024 03:46 AM GMT+8 , Processed in 0.032161 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list