![](https://suarasarawak.my/wp-content/uploads/2022/02/WhatsApp-Image-2022-02-13-at-14.01.49.jpeg)
Penghulu Sapiee Sam (empat kanan) menyerahkan cenderahati kepada Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteran Komuniti, Muhammad Razi Sitam (tiga kanan) pada bengkel Pemerkasaan Pelan Tindakan Warga Emas Negeri Sarawak, hari ini. KUCHING: Cadangan untuk membina dan mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat daerah akan dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).
Menteri Muda KPWK, Muhammad Razi Sitam berkata, ia antara hasrat utama wakil Pawe dalam bengkel Pemerkasaan Pelan Tindakan Warga Emas Negeri Sarawak yang diadakan, di sini, hari ini.
“Buat masa ini, sejumlah 13 Pawe yang sudah diwujudkan di setiap kawasan parlimen di Sarawak.
“Jika cadangan untuk membina Pawe di peringkat daerah ini diwujudkan nanti, sudah pasti pusat ini akan diperluaskan kepada 45 pusat Pawe di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Pelan Tindakan Warga Emas Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut katanya, penubuhan Pawe di setiap kawasan parlimen kadang-kadang menimbulkan pelbagai masalah misalnya dari segi logistik.
“Kita tahu keluasan bagi satu-satu parlimen sangat besar dan bagi setiap parlimen, kadang-kadang terdapat dua hingga tiga daerah.
“Kalau kita kecilkan lagi skop Pawe ini ke peringkat daerah, ia akan memberi kesan yang lebih baik walaupun ia tidak dapat menyelesaikan 100 peratus keperluan warga emas,” ujarnya.
Ujar Razi, ini merupakan cadangan yang boleh dipertimbangkan dan beliau bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan mengusulkan cadangan ini kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.
|