![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220212/2d990e9a-9952-417e-b006-127345209c7a.jpeg)
KOTA KINABALU: Kerajaan membenarkan pembukaan bagi sekolah yang ditutup sebelum ini dengan kemasukan murid serta pelajar secara berperingkat berkuatkuasa mulai 11 Februari.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (gambar) berkata kebenaran membabitkan semua sekolah dan institusi Pendidikan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu adalah tertakluk kepada ketetapan KPM dengan mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kebenaran ini juga dibenarkan kepada Institut Latihan Kemahiran, sekolah selain dibawah KPM, pusat tahfiz dan institusi-institusi pendidikan lain dengan tertakluk kepada arahan kementerian serta agensi berkaitan.
“Pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya juga dibenarkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan pembukaan Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata sekiranya terdapat kes positif, pembukaan atau penutupan sekolah rendah dan sekolah menengah adalah tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Dalam pada itu beliau berkata SOP terbaharu majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi dibenarkan dengan kapasiti maksima seramai 150 orang atau penggunaan 50 peratus ruang dalam tempoh maksima tiga jam sahaja.
“SOP sama juga turut diberikan bagi majlis akikah, doa selamat, tahlil, ulang tahun, perayaan, hari kelahiran, majlis perjumpaan semula atau ‘reunion’ , retreat dan lain-lain majlis sosial yang dibenarkan bagi tempoh dua jam sahaja,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/12 |