![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220212/leekimshin2.jpg)
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan kerajaan Brunei Darussalam berharap pintu sempadan di negeri ini dan negara berkenaan akan dibuka selepas kadar vaksinasi COVID-19 lengkap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin (gambar) memberitahu, antara pintu sempadan tersebut ialah Miri, Limbang dan Lawas.
"Sejak bermulanya pandemik COVID-19, sokongan dan bantuan kerajaan Brunei Darussalam juga telah memudahkan pergerakan rakyat Sarawak bagi pengangkutan barangan keluar masuk sempadan.
"Ia sangat penting untuk hubungan dalam menjalankan perniagan sekali gus meningkatkan aktiviti pelancongan antara dua belah pihak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Konsul Jeneral Brunei Darussalam, Noni Zurainah Ismi dan Konsul Brunei, Muhd Adib Yazid Mohd Zaini di pejabatnya di sini, pada Jumaat.
Menurut Lee, pada masa ini kemasukan dan transit melalui Brunei Darussalam hanya boleh dipertimbangkan untuk kenderaan transit dengan permit transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei Darussalam.
“Dengan syarat pengembara telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan, perjalanan mereka tertakluk kepada syarat dan prosedur kemasukan sedia ada,” katanya.
Lee berkata, perkara yang turut dibincangkan semasa kunjungan tersebut adalah berkaitan dengan para pekerja dan pelajar yang merentas sempadan, situasi dan status COVID-19 termasuk garis panduan pengangkutan darat dan udara.
utusanborneo.com.my/2022/02/12 |