![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220121/twu-ub210122-hs-syabup1.jpg)
PERIKSA: Anggota polis memeriksa beg kertas salah seorang suspek yang disyaki digunakan untuk menyimpan syabu berkenaan. (gambar kecil) Syabu yang berjaya dirampas daripada suspek.
TAWAU: Tiga wanita ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat lebih 1 kilogram (Kg) di kawasan Bandar Sabindo, di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan Op Tapis di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejayaan tangkapan itu hasil risikan yang dilakukan oleh pasukan BSJN IPD Tawau.
Katanya, sebelum itu, pasukan polis mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan dan membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga wanita di dalam kereta berkenaan iaitu dua penduduk tempatan dan seorang warga asing berumur 28 hingga 44 tahun.
“Pemeriksaan lanjut, berjaya menemukan satu bungkus plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.18 kilogram di dalam beg kertas salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, syabu yang bernilai RM36,000 dan kenderaan yang digunakan suspek dibawa ke BSJN IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Dadah jenis syabu yang dibawa oleh suspek terbabit boleh menampung penggunaan seramai 5,000 orang penagih sekiranya berjaya diedar,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/21 |