PANTAU: Pasukan APM menjalankan pemantauan di salah sebuah kawasan terjejas banjir.
BANTUAN: Pasukan bomba dari BBP Sandakan menghantar bantuan makanan di Kampung Betition bersama Datuk James Ratib.
NASIHAT: Pasukan APM memberikan nasihat kepada penduduk untuk berpindah sekiranya paras air semakin naik.
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Sabah berkurang kepada 3,371 semalam berbanding 3,398 yang dicatatkan sebelum ini.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Kota Marudu kekal sebagai daerah paling ramai terjejas mencecah 2,653 daripada 1,113 keluarga yang ditempatkan di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah juga memaklumkan walaupun sebahagian besar mangsa banjir di kawasan terjejas banjir semakin berkurang, namun Pitas masih merekodkan penambahan kepada 307 mangsa daripada 127 keluarga di empat PPS.
“Telupid menempatkan 172 mangsa daripada 38 keluarga manakala daerah lain merekodkan jumlah mangsa kurang daripada angka 100 iaitu Paitan 99 mangsa daripada 23 keluarga, Sandakan 46 mangsa manakala 41 mangsa di Beluran.
“Beberapa jalan utama termasuk Kampung Saniton Pitas, Jalan Nangoh Paitan Kanibongan Pitas, Jalan Bongkud, Jalan Stadium Ranau, Jalan Timbau- Melinsau serta Kilometer 33 Jalan Tambunan- Ranau turut dilaporkan terjejas dengan kejadian tanah runtuh,” katanya.
Tambahnya dua kawasan perumahan masing-masing Kampung Segaliud dan Kampung Warisan Jalan Bukit Garam Kinabatangan serta Kampung Gas Batu Sapi dan Ladang SLDB Sukau juga terjejas dengan tanah runtuh.
Katanya pemantauan kawasan banjir turut dijalankan di Kampung Dalit Sook Keningau selepas perkampungan itu dilanda banjir kilat semalam.
“Penduduk kampung mendakwa paras banjir mula naik kira-kira jam 4 pagi disebabkan limpahan dari Sungai Dalit.
“Hasil pemantauan mendapati terdapat dua buah rumah penduduk yang terjejas banjir kilat sedalam tiga kaki dan 12 yang lain pada paras lutut manakala sebahagian penduduk sudah berpindah ke kawasan selamat iaitu rumah saudara mara terdekat.
“Pasukan APM yang digerakkan ke kawasan terbabit memberikan khidmat nasihat kepada penduduk agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan segera berpindah sekiranya paras air mula naik,” katanya.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan amaran hujan berterusan pada peringkat waspada dilaporkan berlaku di Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat sehingga semalam.
utusanborneo.com.my/2022/01/04
|