KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor (gambar) menggesa semua jawatankuasa pengurusan bencana di negeri ini supaya diaktifkan segera.
Tindakan itu bagi menjangkakan cuaca buruk di kawasan pantai timur dan bahagian utara negeri ini seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Saya sudah memaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untung untuk mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah supaya segera mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana di setiap daerah.
"Semua pihak perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan terutama membabitkan bencana angin kencang, banjir dan tanah runtuh," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau turut mahu PBT terus membersihkan semua saluran air dan longkang untuk memastikan tiada halangan sekiranya berlaku hujan berterusan.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa orang ramai supaya mengambil perhatian terhadap amaran cuaca MetMalaysia dan menjaga keselamatan setiap masa.
Hari ini MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan membabitkan beberapa daerah antaranya Ranau, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, dan Telupid.
Amaran hujan berterusan itu dijangka sehingga 2 Januari 2022 dengan ramalan jumlah hujan dijangka melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.
utusanborneo.com.my/2021/12/30 |