KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk lebih dua tahun lalu akan menyerahkan laporan terperinci mengenai kajian pemansuhan pelaksanaan hukuman mati di negara ini dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dapatan daripada maklum balas masyarakat itu juga bakal diserahkan segera selepas jawatankuasa tersebut meneliti keputusan pemansuhan hukuman dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Diharap laporan kajian tersebut dapat dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet dan keputusan terakhir ditetapkan selepas jemaah menteri berpuas hati dengan dapatan tersebut,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, ia satu tugasan kritikal untuk menilai keberkesanan hukuman mati kerana terdapat gesaan berulang kali untuk memansuhkan tersebut.
“Kita mesti mengkaji perkara ini dengan teliti sebelum membuat keputusan termasuk melihat sama ada pemulihan banduan adalah pilihan yang lebih baik demi kepentingan masyarakat.
“Sekiranya berjalan lancar, rang undang-undang bagi penghapusan hukuman mati dan segala perundangan berkaitan akan dibawa ke Parlimen pada suku ketiga 2022 kelak,” ujarnya.
Ketika ini, Malaysia masih lagi disenaraikan dalam kelompok 54 negara di dunia mengekalkan hukuman mati, manakala 107 negara lain sudah pun memansuhkan tindakan penalti berkenaan.
Ada 33 kesalahan boleh disabitkan hukuman mati di Malaysia, antaranya kes pembunuhan, pengedaran dadah, rogol maut, aktiviti pengganas dan derhaka ke atas Yang di-Pertuan Agong.
by suaraswk
December 29, 2021 |