KUCHING: Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berharap kementerian baharu yang memperkasakan pembangunan sumber manusia dapat diwujudkan dalam kabinet baharu Sarawak yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau percaya sekiranya wujud Kementerian Sumber Manusia, perancangan 34 inisiatif yang telah disasarkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui manifestonya akan membawa Sarawak sebuah negeri yang maju menjelang 2030.
“Manifesto ini mempunyai kaitan secara langsung dengan keperluan sumber tenaga manusia yang berprestasi tinggi, contohnya pemerkasaan mengenai pertanian moden, ekonomi digital dan sebagainya.
“Kita boleh merancang perancangan tersebut tetapi yang paling diperlukan ialah individu yang akan menjalankan tanggungjawab tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak pada Ahad.
Menjelas lanjut, ia terpulang kepada kerajaan untuk memperkasakan kementerian ini melalui satu portfolio ataupun digabungkan dengan kementerian yang sesuai.
“Bagi calon pula, mungkin kementerian ini memerlukan orang yang benar-benar berpengalaman yang mempunyai kemampuan untuk menjana idea baharu bagi memperkasakan sumber manusia. Itu paling penting,” tambahnya.
Selain itu, Fadzil juga berpandangan bahawa kementerian yang boleh ditubuhkan ialah Kementerian Teknologi dan Permodenan Asas Tani, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Ujarnya, melalui teknologi dan permodenan asas tani, Kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan Sarawak sebagai ‘Bakul Makanan’ boleh menjana lebih banyak pendapatan.
“Manakala bagi kementerian komunikasi, ia bertujuan mendekatkan dan merapatkan jurang komunikasi di kawasan pedalaman dan kawasan bandar.
“Selain itu, perlu diperkasakan ialah kementerian yang melibatkan struktur pembangunan luar bandar kerana sebelum pilihan raya, isu utama dibangkitkan oleh rakyat adalah berkaitan kemajuan luar bandar. “Jika kita mahu merapatkan jurang ini, kita mesti fokus kepada luar bandar.
Justeru, kementerian yang khusus untuk melihat isu-isu pembangunan dan perancangan luar bandar dari segi infrastruktur, bekalan air dan fasiliti amat diperlukan,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar kementerian pelancongan boleh dipecahkan sebagai satu entiti. “Kementerian pelancongan merupakan elemen penting dan diberikan perhatian khusus selepas pandemik Covid-19 untuk kita menjana balik pendapatan dan memperkenalkan Sarawak di mata dunia.
“Kita perlu mempunyai satu kementerian khas untuk melihat pelancongan bagi memastikan ia dapat diberi fokus dengan lebih banyak,” ujarnya.
Ujarnya, sepatutnya terdapat kementerian lain yang perlu diwujudkan, tetapi baginya, kelima-lima kementerian ini dilihat sebagai antara yang terpenting bagi memajukan Sarawak menjelang 2030.
Ditanya mengenai calon yang akan menggalas jawatan dalam pembentukan kabinet nanti, beliau menyatakan bahawa kerajaan perlu mengambil kira keseimbangan antara parti yang terlibat untuk dilantik.
“Dalam masa yang sama jangan terlalu memikirkan pengagihan dengan membelakangkan kekuatan dan keupayaan pemimpin untuk menerajui kementerian berkenaan.
“Individu berkenaan perlu mempunyai visi dan keupayaan melihat kemajuan melangkaui masa kerana di sini kita bercakap mengenai Sarawak maju menjelang 2030,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, pembentukan Kabinet Sarawak terletak atas prerogatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan permuafakatan dalam kalangan wakil parti komponen GPS.
suarasarawak.my/2021/12 by Siti Nurain Ratani
December 28, 2021 |