KUCHING: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang pemuda berusia 20 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, atas kesalahan melupuskan sebuah telefon bimbit curi.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan demikian terhadap pesalah muda tersebut setelah meneliti laporan sosial tertuduh hari ini.
Mahkamah juga menetapkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga dia mencapai usia 21 tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa membantu melupuskan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit milik pengadu dalam satu kejadian pada 8 November lalu, jam lebih kurang 12.15 tengah hari di sebuah pusat komersial di Matang.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, pada 20 September lalu ketika pengadu sedang tidur di bilik sewanya dalam keadaan berkunci di Kampung Kenyalang Park, pengadu terbangun dan melihat seorang lelaki tidak dikenali berada dalam biliknya.
Lelaki berkenaan mengaku sebagai polis serta meminta kad pengenalan dan duit pengadu sebelum beredar dari bilik tersebut.
Pengadu seterusnya membuat pemeriksaan ke atas barang-barangnya dan mendapati sebuah telefon bimbit miliknya hilang, selain mendapati terdapat kesan tebukan di dinding bersebelahan dengan pintu bilik sewanya.
Sehubungan itu, pengadu membuat laporan polis untuk rujukan keselamatan.
Hasil siasatan polis kemudiannya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 8 November lalu.
utusanborneo.com.my/2021/12/28 |