PADAWAN: Sambutan perayaan Krismas pada tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun lalu dengan sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Tinjauan Suara Sarawak di Kampung Danu, Puncak Borneo mendapati aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan ahli keluarga yang berbeza kaum dan agama tetap rancak.
Malah cuaca yang cerah menjadikan perayaan Krismas hari ini platform terbaik bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta institusi kemasyarakatan di negeri ini.
Menurut Lynch Cowan, 26, beliau teruja menyambutnya kerana ahli keluarga dari Semenanjung dapat balik dan meraikan bersama-sama selepas beberapa tahun tidak bertemu.
“Krimas adalah masa untuk kita berkumpul dan berkongsi kegembiraan bersama serta memperkukuhkan lagi hubungan antara satu sama lain.
“Malah amalan berkunjung yang diamalkan sejak dulu lagi masih diteruskan bagi memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum di negeri ini kekal terpelihara,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bagaimanapun, katanya sambutan tetap diraikan dengan pematuhan SOP dan tidak berkumpul terlalu ramai.
Sekitar sambutan perayaan Krismas di Kampung Daun, Puncak Borneo, hari ini.
by suaraswk
December 25, 2021 |