KUCHING: Dua pemain import dari Sweden bakal memperkuatkan jentera serangan Kuching City FC (KC FC) dalam merempuh musim baharu yang bermula pada Mac, tahun hadapan.
Jurulatih KC FC Irfan Bakti berkata, kedua-dua pemain tersebut merupakan pemain di posisi bahagian penyerang dijangka akan melapor diri ke dalam skuad Januari ini.
“Dua import baharu kita kali ini adalah seorang merupakan penyerang, dan seorang lagi merupakan penyerang kedua (back-up striker).
“Hasil penelitian daripada kedua-duanya sebelum ini menunjukkan prestasi yang sangat baik dan kita harapkan dapat memberi impak positif terhadap pasukan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Jelasnya, diharapkan dengan adanya tonggak baharu di bahagian serangan mampu untuk meningkatkan prestasi pasukan untuk layak ke Liga Super musim hadapan.
Irfan turut mengakui langkah tersebut diambil untuk memastikan pengurusan pengambilan pemain baharu tidak memakan masa lama serta sesuai dengan cita rasa pasukan.
“Pra musim kali ini kita juga telah persiapkan yang mana latihan intensif akan bermula Januari ini. Di samping itu kita juga telah merangka beberapa perlawanan persahabatan sebelum perlawanan sebenar bermula nanti,”ujarnya lanjut.
sarawakvoice.com/2021/12/26 |