PIHAK berkuasa mengesan berlaku pencemaran bau pada air mentah di Sungai Linggi sejak semalam yang mendorong Badan Kawal Selia Air, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) tampil membuat siasatan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, siasatan dan penelitian oleh jabatan berkaitan dijalankan di sembilan tempat bermula jam 8 pagi.
Katanya, siasatan dijalankan di sebahagian kawasan sungai di Rasah, Kampung Batu 3 dan di bawah jambatan Lebuhraya Port Dickson sehingga di pertembungan muara antara Sungai Anak Air Garam dan Sungai Linggi.
"Siasatan awal mendapati ada bau yang agak signifikan dari arah jambatan lebuh raya, bagaimanapun keadaan warna air mentah masih didapati seperti biasa.
"Hasil siasatan awal juga mendapati tiada bukti menunjukkan ikan dalam sungai berkenaan mati, namun pencemaran bau itu menimbulkan persoalan dan siasatan masih diteruskan untuk mencari lokasi sebenar punca bau berkenaan," katanya.
Veerapan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada berlaku pembuangan sisa atau bahan tercemar atau tumpahan bahan terpakai oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran di Sungai Linggi.
Beliau berkata, kejadian pencemaran ini kali kedua dikesan sejak awal tahun selepas berlaku pembuangan minyak hitam kenderaan terpakai oleh pihak tidak bertanggungjawab di laluan sungai berkenaan terutama di Rasah, April lalu.
Sementara itu, SAINS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terpaksa menutup sementara Loji Rawatan Air Sungai Linggi bermula hari ini susulan penemuan bau kurang menyenangkan pada air mentah di sungai berkenaan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, penutupan itu bagi mengelak keadaan menjadi lebih kritikal.
"Sehubungan itu, beberapa kawasan di Port Dickson dan sebahagian di Seremban mengalami gangguan bekalan air bagi tempoh 24 jam mulai pagi ini," katanya.