View: 602|Reply: 0
|
[Sarawak]
Buruh didenda RM3,000 kerana ugut bunuh lelaki
[Copy link]
|
|
MIRI: Seorang buruh didenda RM3,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap seorang lelaki.
Harrison Lah Imang, 30, dari Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Muhammad Eric Nawan Abdullah dengan mengugut hendak menyebabkan kematian ke atas lelaki terbabit dengan niat menakutkannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 tengah malam, 26 November lalu di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Centre Point di sini.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati sebelum kejadian, tertuduh telah bertindak menampar muka dan menumbuk dada mangsa kerana tidak berpuas hati dan menuduh lelaki terbabit sebagai punca dia dimasukkan ke lokap pada tahun 2020.
Setelah itu, dia telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu. Manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sementara itu, seorang lelaki didenda RM3,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini gara-gara mencakar pipi bekas isteri sehingga calar.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah Afiee Arfizee Ali, 34, mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mencederakan bekas isterinya, Nurcahaya Muhammad, 32, dengan mencakar pipi sebelah kiri mangsa menggunakan tangan sehingga calar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 6 petang, 25 November lalu di sebuah lot di Jalan Hillstone Utama 4 di sini.
Siasatan lanjut polis mendedahkan sebelum kejadian, tertuduh telah datang ke rumah sewa bekas isterinya itu sebelum berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Semasa berlaku pergelutan, tertuduh telah mencakar pipi sebelah kiri bekas isterinya itu sehingga calar.
Punca kejadian disebabkan tertuduh hendak membawa anak sulung mereka tinggal bersamanya namun tidak dibenarkan mangsa.
Menurut mangsa, pergaduhan sering berlaku antara mereka berkaitan hak penjagaan anak.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2021/11/30
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|