Edited by Vellfire at 26-11-2021 11:38 AM
Bahagian hadapan ambulans yang mengalami kerosakan akibat kemalangan, gambar kecil menunjukkan motosikal yang dinaiki suami isteri terbabit.
KUCHING: Sepasang suami isteri cedera dalam kemalangan dengan sebuah ambulan di Kilometer 80, Jalan Kuching-Sri Aman pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua mangsa berusia 59 dan 43 tahun berasal dari Kampung Paon Gahat, Serian.
Menurutnya, semasa kejadian mereka dikatakan menaiki sebuah motosikal iaitu sekitar jam 2.50 petang.
"Mereka dikatakan secara tiba-tiba menyeberang jalan dari arah kiri jalan menuju ke Sri Aman dan berlanggar dengan sebuah ambulans yang bergerak lurus dari Serian.
"Kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal. Mangsa lelaki dilaporkan patah tulang pergelangan tangan kanan dan isterinya patah kaki kanan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasangan terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Manakala, pemandu dan penumpang ambulan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Semasa kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan pulang ke Hospital Betong dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan membawa seorang pesakit, seorang ahli keluarga pesakit dan seorang jururawat.
"Kesemua penumpang dan pesakit di ambulan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya,
Kedua-dua kenderaan yang terlibat kemalangan kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/11/26
|