SANDAKAN: Mayat remaja perempuan yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot terbalik di perairan Kampung Semawang, dekat Batu 19, ditemui ketika laungan azan Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata mangsa berusia 14 tahun itu ditemui penduduk kampung pada jam 12.18 tengah hari tadi.
Katanya, mayat remaja itu ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik.
"Pasukan bomba kemudiannya membawa mayat ke tepi pantai seterusnya diserahkan kepada pihak polis.
"Mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Jimmy, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya dihentikan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari.
Mangsa bersama tiga lagi individu dalam perjalanan pulang menaiki bot menuju ke Kampung Semawang ketika kejadian berlaku jam 8.45 malam tadi.
Bot dinaiki mangsa terbalik dan mangsa hilang manakala tiga lagi individu diselamatkan penduduk kampung.