Uggah (kanan) bersama yang lain ketika melawat tapak projek lapangan terbang STOLport Bebuling pada Selasa.
SPAOH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pembinaan projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) di Bebuling, Spaoh di Betong akan dimulakan dalam waktu terdekat.
Beliau berkata majlis pecah tanah projek berkenaan akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 30 November ini sempena lawatan kerjanya ke daerah kecil itu.
Menurutnya projek berkenaan menelan belanja RM108 juta, lapangan terbang baharu akan dibangunkan di negeri ini, selain di Bukit Mabong, Balleh, Kapit yang bernilai RM173.5 juta.
"Projek lapangan terbang ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri menjadikan Sarawak pengeluar produk makanan utama menjelang tahun 2030.
"Spaoh sebahagian daripada kawasan Bakul Makanan Betong," katanya hari ini sambil menambah projek itu kini di peringkat pembersihan tapak dan dijadual siap pada 16 September 2023.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan Bebuling, seluas 250 hektar untuk dibangunkan sebagai salah satu daripada enam taman agro di negeri ini sebagai peladangan pintar.
"Lapangan Terbang Bebuling akan membolehkan produk-produk pertanian kita dihantar segera ke pasaran," tambahnya.
Uggah turut meluangkan masa melawat tapak projek berkenaan pada Selasa. Beliau ditemani penyandang DUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu dan Residen Betong Richard Michael Abunawas.
Hadir sama Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Engineer Chiresly Francis Kureng.
utusanborneo.com.my/2021/11/24
|