Dr Abdul Rahman (dua kiri) bersama (dari kiri) Chew, Wong menyerahkan bantuan makanan kepada seorang warga emas.
LIMBANG: Kerajaan perlu meluluskan pembinaan sebuah poliklinik di daerah ini bagi menangani masalah kesesakan di Hospital Limbang yang juga berdepan isu kekurangan tempat letak kereta.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pada masa ini, Hospital Limbang masih menempatkan semua unit termasuk unit pesakit luar yang memerlukan perkhidmatan kesihatan di hospital.
Jelasnya kemudahan poliklinik di sini memang dalam perancangan kerajaan untuk dibina di kawasan bandar baharu Limbang.
“Pertambahan pesakit yang mendapatkan rawatan di unit pesakit luar Hospital Limbang menyebabkan bilangan kenderaan bertambah dan terpaksa meletakkan kereta di luar hospital dan mengakibatkan kesesakan,” katanya kepada media selepas penyerahan Sumbangan Bantuan Prihatin Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Limbang pada Isnin.
Turut sama Pengerusi PBSM Daerah Limbang, Chew Sing Liang, timbalannya Wong Ku Hai dan jawatankuasa tertinggi lain.
Dr Abdul Rahman berkata lagi isu kesesakan dan kekurangan tempat letak kereta akan diberi perhatian termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak Hospital Limbang.
“Kita akan lihat perkara ini dan berbincang dengan pihak hospital untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini termasuk kemungkinan membuat tempat khas parkir sementara,” ujarnya.
Tambahnya, untuk jangka masa panjang masalah ini perlu diatasi termasuk kemungkinan membina tempat letak kereta bertingkat.
Sementara itu katanya orang ramai diminta mematuhi peraturan dan pihak berkuasa memberi pertimbangan dan kerjasama kepada mereka yang berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta.
Pada masa sama, beliau juga mahu syarikat penerbangan MASwings untuk menambah kekerapan penerbangan dari Limbang ke Miri, daripada dua penerbangan sehari kepada tiga atau empat penerbangan sehari.
“Manakala saya berharap syarikat penerbangan MASwings menambah kekerapan penerbangan dari Limbang ke Kuching kepada tujuh kali penerbangan seminggu berbanding hanya tiga penerbangan seminggu sekarang,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan sebanyak 300 sumbangan bantuan prihatin PBSM kepada golongan sasar.
utusanborneo.com.my/2021/11/23
|