LABUAN: Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM50,000 selepas menjadi mangsa penipuan macau scam yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila (gambar) berkata nasib malang menimpa mangsa selepas Pengurus Bahagian Pentadbiran disebuah syarikat itu memberikan maklumat peribadinya kepada suspek pada 1.57 petang 22 November lalu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dihubungi suspek yang mendakwa sebagai pegawai di salah sebuah bank semasa mangsa berada di pejabatnya di Patau-Patau.
“Dalam panggilan itu suspek memaklumkan kad kredit atas nama mangsa mempunyai transaksi sebanyak tiga kali berjumlah RM15,991 menyebabkan mangsa terkejut dan menafikan perkara tersebut dengan menyatakan tidak memiliki kad kredit di bank yang dinyatakan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ahmad Jawila berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk membuat pengesahan bagi mengemaskini akaun bank dan tanpa berfikir panjang mangsa terus sahaja memberikan maklumat peribadinya.
“Panggilan terbabit kemudiannya disambung kepada suspek kedua yang didakwa sebagai Pegawai Bank Negara Malaysia seterusnya bercakap dengan seorang lagi individu lelaki mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman yang mengaku mengendalikan kes tersebut.
“Mangsa yang curiga dengan keadaan itu kemudiannya menghubungi pihak bank pada akaun yang dimilikinya sebelum dimaklumkan mangsa sudah memindahkan wang sebanyak RM50,000 keluar dari akaunnya.
“Mangsa akhirnya datang ke balai polis untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai juga menasihatkan masyarakat untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu tidak dikenali.
“Buat semakan terlebih dahulu di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/23
|