SERIAN: Ibu bapa di kawasan luar bandar perlu memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak sekiranya mahu keluar daripada kepompong kemiskinan.
Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, tiada jalan lain selain memiliki pendidikan yang baik untuk mengubah kehidupan masyarakat.
Menurutnya, pendidikan merupakan batu loncatan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan serta membuka minda untuk menerima sebarang perubahan.
Beliau berkata demikian semasa majlis penangguhan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-46 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang, pada Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Dr. Simon Sinang Bada dan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Chali Unggang.
Dalam pada itu, beliau menambah, kepentingan ilmu pengetahuan yang seimbang dari sudut rohani dan kemahiran kini menjadi satu keperluan yang amat mustahak bagi sesebuah negeri.
Katanya, tanpa ilmu pengetahuan yang seimbang, keupayaan untuk memajukan negeri adalah amat sukar malahan akan menjejaskan apa jua rancangan dan kemajuan yang telah direncanakan.
sarawakvoice.com/2021/11/22
|